Loji Biogas Felda Dijadual Mula Operasi Menjelang Oktober 2018

KUALA LUMPUR – Loji biogas baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di bawah projek tenaga daripada bahan sisa di empat kilangnya dijangka mula beroperasi menjelang Oktober 2018, kata penggiat tenaga yang baharu, Concord Green Energy Sdn Bhd (CGE).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif CGE, Datuk Khairuddin Mohd Hussin berkata loji itu, masing-masing dua di Pahang dan Johor, berupaya menjana tenaga elektrik 5.6 megawatt (MW) daripada efluen sawit yang dikeluarkan oleh kilang kelapa sawit tersebut.

“Kini, kita boleh mengubah sisa dari kilang sawit Felda itu untuk menjana elektrik.

“Lebihan tenaga elektrik yang dijana oleh unit tersebut akan dijual dan dimasukkan ke dalam grid nasional, dengan perolehan dikongsi berdasarkan nisbah yang dipersetujui bersama,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani kontrak dengan Dana Engineering Sdn Bhd untuk membekalkan enam enjin gas Jenbacher yang dihasilkan General Electric (GE) kepada CGE untuk projek biogas itu di sini, hari ini.

CGE dilantik oleh Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) untuk membina, mengendalikan dan menyenggara 14 tapak atau loji biogas serta kemudahan penjanaan tenaga di kilang sawit terpilih FGV selama 16 tahun.

Pada 2016, CGE memeterai perjanjian dengan FGV serta-merta selepas bermulanya kerja-kerja pembinaan di empat kilang baharu di bawah fasa pertama mengikut Perjanjian Khusus Bina, Kendali dan Milik Kilang, yang turut menempatkan enjin gas Jenbacher GE.

Khairuddin bagaimanapun enggan memaklumkan nisbah perkongsian dengan Felda atau FGV, memandangkan status FGV sebagai entiti tersenarai di bursa.

“Nisbah perkongsian perolehan adalah kompetitif. Tiada pelaburan daripada Felda, kecuali hanya membekalkan sisa semula jadi sebagai sumber biogas,” katanya.

Beliau berkata, CGE menggunakan pinjaman mudah dan geran daripada kerajaan serta sumbernya sendiri, telah melabur hampir RM50 juta bagi enam enjin Jenbacher.

“Bagi loji yang ditetapkan untuk menjana tenaga elektrik 2.0 MW, anggaran pelaburan adalah RM18 juta dan tempoh pembayaran balik bagi CGE akan bermula pada tahun kelima,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply