Tanduk Cafe Tarikan Baharu Felda Lurah Bilut

KELMARIN krew Felda Voice(FV) berpeluang berkunjung ke Felda Lurah Bilut dalam rangka kerja untuk liputan sambutan Deepavali peneroka kaum India yang berada di dalam Felda Lurah Bilut.

Lurah Bilut ialah sebuah kawasan penempatan FELDA yang terletak di Bentong, Pahang. Ia mula dibuka pada tahun 1958 dan merupakan rancangan pembangunan tanah secara berkelompok untuk pertanian yang pertama ditubuhkan seumpamanya di Malaysia dan dunia.

Ketika sedang melalui sebatang jalan, kami ternampak sebuah kedai makan yang cukup menarik perhatian kami dalam ketika kami melihat deretan kedai milik kaum Cina, terselit satu kedai makan berkonsepkan “Hipster” yang diberi jolokan Tanduk Cafe.

Kami bernasib baik awal sedikit kerana pemilik yang ingin dikenali sebagai AmirulShah hendak keluar ke pasar untuk membeli bahan masakan.

AmirulShah anak muda berumur 35 tahun begitu semangat bila krew kami hadir. Penampilan beliau cukup bersahaja tetapi beliau seolah-olah sudah bersedia dengan kehadiran kami.

“Ha senang begini, tuan tanya sahaja apa tuan nak tahu, saya boleh ceritakan,” ujar beliau.

Cafe beliau ini sudah beroperasi selama 10 bulan, dan beliau merupakan generasi ketiga Felda Lurah Bilut.

“Bilut merupakan Felda pertama didunia tapi orang tidak tahu Bilut sebenarnya kat mana, tapi dengan adanya Tanduk Cafe orang boleh kenal Felda Bilut.

“Bilut ada sejarah sendiri, jadi saya cuba memberi kelainan dan akan menjadi daya penarik pengunjung luar untuk hadir ke Bilut,” ujar beliau lagi.

Beliau keluar merantau sejak berumur 19 tahun dan pulang semula ke Bilut selepas 15 tahun .

Berpengalaman bekerja dalam bidang “Food&Beverages”, beliau mengunakan segala pengalaman dan kemahiran yang beliau ada untuk membina sebuah cafe lain dari yang lain.

Beliau turut berkongsi cabaran dan pernah terdetik untuk menutup cafe tersebut kerana sikap dengki di kalangan peniaga di dalam cafe tersebut.

Akan tetapi atas azam dan semangat yang kuat, beliau kembali bangkit dan hasilnya lebih baik dari kedai yang asal.

Beliau turut membantu belia di dalam Felda Lurah Bilut yang benar-benar ingin berniaga dengan memberi peluang dan membuka ruang kecil untuk mereka berniaga di Tanduk Cafe.

“Diaorang pernah kata saya gila, kononnya saya buat kerja gila, sorang-sorang buat dan bina cafe ini, tapi saya tak peduli sebab mulut orang tak boleh tutup dan saya suka orang mengata saya, sebab saya rasa saya ada ‘something’ yang mereka tiada,” AmirulShah.

Bagi beliau sasaran  memperkenalkan Bilut kepada dunia luar melalui konsep kedai beliau sudah membuahkan hasil kerana 85% pelanggan dari Kuala Lumpur, Raub, Mempaga dan Bentong.

Sebelum mengakhiri temubual bersama FV, beliau memberi sedikit pesanan kepada anak muda di Tanah Rancangan

“Keluarlah, cari pengalaman di luar dan bawa pulang ke tanah rancangan. Berbaktilah kepada tempat asal.

Buang jauh-jauh stigma balik kampung bermakna gagal di luar dan masyarakat di Felda pun jangan terlalu cepat menghukum sebab ianya boleh menjatuhkan moral mereka,” katanya lagi.

Jadi kepada mereka yang menggemari masakan barat, bolehlah berkunjung ke Felda Lurah Bilut kerana keenakan dan suasan kedai ini cukup memberi kelainan kepada pengunjung.

Turut menarik perhatian di Felda Lurah Bilut ialah sebuah Muzium yang menyimpan dan memaparkan artifak serta sejarah perjalanan Felda dari tahun 1958 hinggalah sekarang.

 

 

Leave a Reply