Tak Sangka Anak Maut Di Tempat Kerja

PARIT BUNTAR: “Saya ada melalui kawasan kejadian tetapi tidak tahu pula ada kemalangan membabitkan anak sendiri di tempat kerjanya itu,” kata Sazali Abdullah.

Sazali, 59, adalah bapa kepada Haryati, 34, yang maut dirempuh dan digilis lori di sebuah premis memproses kelapa di Kuala Kurau di sini, semalam.

Dalam kejadian itu jam 6.15 petang, Haryati maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala pemandu lori terbabit menghilangkan diri.

Sazali memandu dari arah pekan Kuala Kurau melalui tempat kerja anaknya untuk pulang ke rumah di Kampung Tok Ngah di sini, namun tidak berhenti dan tidak mengetahui ada kemalangan di situ.

“Bagaimanapun, sejurus sampai di rumah saya merasa hairan melihat isteri dan ahli keluarga lain menangis teresak-esak sebelum memaklumkan kejadian itu.

“Luluh hati saya apabila mengetahui anak saya sendiri yang maut kemalangan di lokasi yang saya lalui itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Sazali berkata, jenazah arwah anak sulung daripada lima beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kurau, di sini, tengah malam tadi.

LORI yang melanggar Haryati di sebuah premis memproses kelapa di Jalan Pantai, Kuala Kurau, semalam. – Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

ANAK arwah Haryati, Mohd Taufiq (kiri) dan Mohd Shaufiq (dipangku) kini dijaga Sazali. – Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Beliau berharap polis dapat mengambil tindakan lanjut termasuk mengesan lelaki dipercayai warga asing yang memandu lori terbabit.

Katanya, dua orang anak arwah iaitu Mohd Taufiq Shaipol, 11, dan Mohd Shaufiq Shaipol, 6, kini di bawah jagaan mereka.

Dalam pada itu, majikan tempat mangsa bekerja yang dikenali sebagai Ah Hee, memaklumkan arwah bekerja sambilan dengan syarikat miliknya sejak kira-kira lapan bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya bersimpati dengan kejadian terbabit dan tampil menghulurkan bantuan peribadi kepada ahli keluarga mangsa.

“Kejadian ini di luar jangkaan dan kami akan menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian kepada polis bagi membantu siasatan.

“Ketika kejadian, saya berada di Alor Setar, Kedah dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang pekerja dan amat bersimpati dengan arwah,” katanya ketika ditemui media di rumah mangsa, hari ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.