Vida Penuhi Janji Bawa Pelajar Tahfiz Darul Ittifaqiyyah

KUALA LUMPUR: Seramai 15 pelajar dan tiga guru pengiring Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah dijadualkan berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat umrah bersama Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, minggu depan.

Bagaimanapun, rombongan itu terpaksa dilakukan secara berasingan memandangkan usahawan kosmetik yang lebih dikenali sebagai Dr Seri Vida menghadapi kekangan masa berikutan jadual kerjanya yang sentiasa padat.

Vida berkata, beliau akan pergi lebih awal iaitu hari ini manakala rombongan pelajar berkenaan akan menyusul, pada Rabu ini kerana hanya itu tarikh yang bersesuaian dengan mereka.

“Saya akan menyambut kedatangan mereka di Jeddah nanti. Saya sendiri berbelah bahagi kerana tidak dapat berangkat dengan mereka walaupun hasrat hati untuk melakukan perjalanan ibadat ini bersama-sama.

“Tetapi saya terpaksa pergi lebih awal untuk membolehkan berada lebih lama di sana sekurang-kurangnya sembilan hari memandangkan waktu sekarang amat tenang untuk beribadat dan belum musim umrah,” katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.

Vida memenuhi janjinya untuk membawa pelajar tahfiz berkenaan supaya mereka dapat melupakan trauma dan tekanan berikutan kebakaran awal pagi di pusat pembelajaran itu, pada 14 September lalu yang mengorbankan 23 nyawa.

Katanya, pelajar dan guru terbabit adalah kumpulan pertama ke umrah memandangkan beberapa pelajar yang cedera masih menjalani rawatan dan tidak dapat menyertai rombongan yang sama.

“Tarikh perjalanan untuk kumpulan kedua belum dapat ditetapkan tetapi saya akan pastikan mereka dapat melakukannya dalam masa terdekat, paling awal bulan depan.

“Seboleh mungkin saya juga mahu menyertai kumpulan kedua tetapi semuanya bergantung kepada jadual saya nanti,” katanya.

Beliau berkata, selain menunaikan umrah pelajar terbabit juga akan dibawa ziarah ke tempat bersejarah sebagai mengimbau perjuangan Rasulullah.

Vida berkata, disebabkan perlu memenuhi tanggungjawab kerja di tanah air, ahli perniagaan itu akan pulang lebih awal iaitu pada 24 Oktober manakala rombongan pelajar terbabit dijadualkan pulang pada 30 Oktober.

“Insya Allah saya akan menyambut kepulangan mereka ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum membawa mereka terus ke rumah saya di Ipoh.

“Ikut cadangan mereka juga akan terus dibawa tinggal di rumah saya sementara menantikan bangunan baharu pusat tahfiz berkenaan siap sepenuhnya,” katanya.

Vida berkata, perjalanan umrah bersama pelajar berkenaan dianggap bukan sekadar memenuhi keinginan beliau membantu mereka tetapi lebih daripada itu memastikan nasib seluruh pelajar tahfiz di negara ini mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, selain membantu pelajar terbabit beliau mempunyai visi yang lebih besar iaitu untuk menaungi pusat tahfiz miliknya sendiri yang disifatkan sebagai pelaburan saham akhirat.

“Jadi ini adalah satu permulaan untuk saya sebelum impian memiliki kompleks tahfiz yang dinaungi saya sendiri menjadi realiti.

“Saya hanya individu dan bukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi atas keizinan dan rahmat Tuhan, niat untuk membantu dan menaungi pusat tahfiz sendiri diharapkan akan menjadi kenyataan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply