“Semoga Umrah Dapat Hilangkan Trauma Mereka”

PETALING JAYA: Sekumpulan 15 pelajar dan tiga guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) di Keramat Ujung, Kuala Lumpur akan berangkat ke tanah suci Makkah bagi mengerjakan umrah 18 Oktober ini, tajaan jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman.

Atas peluang yang diberikan itu, pihak pengurusan pusat tahfiz tersebut turut mempertimbangkan melakukan ibadah umrah untuk 21 pelajar dan dua guru yang maut dalam kebakaran pada 14 September lalu.

Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood menyifatkan ia sebagai satu langkah terbaik untuk semua pelajar dan mangsa yang syahid dalam tragedi kebakaran tersebut.

“Apa jua bentuk kebajikan yang diterima memang kita hargai apatah lagi cadangan untuk lakukan umrah, sekali untuk arwah.

“Itu satu cadangan yang bagus. Bagi kita tiada masalah kerana ia tidak menyusahkan. Kita akan bincang mengenainya,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Pada masa sama, Mohd Zahid turut berterima kasih kepada Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida di atas sumbangan berbentuk pakej umrah kepada 25 pelajar dan guru pusat tahfiz yang terselamat dalam kebakaran bulan lalu.

“Terima kasih kepada Datuk (Seri) Vida. Sekurang-kurangnya kesemua mangsa boleh menghilangkan trauma dan saya juga anggap ini satu anugerah kepada pelajar yang dipanggil oleh Allah untuk menunaikan umrah,” katanya.

Vida ketika dihubungi mStar Online berkata beliau terpaksa berlepas awal iaitu petang Sabtu tanpa ditemani dua anaknya, Edlin Zamilin dan Eric Zaquan.

“Mereka patut pergi tapi ada masalah visa. Amat sedih juga tapi saya anggap mungkin ada hikmah di sebalik ketiadaan mereka,” katanya.

Menurut pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu, rombongan tersebut terpaksa dilakukan secara berasingan kerana masalah visa membabitkan pelajar dan guru pusat tahfiz berkenaan.

“Sepatutnya saya pergi 12 Oktober tapi ditunda ke hari ini (Sabtu). Jadi saya pergi lebih awal dan akan menyambut ketibaan mereka di Jeddah pada Rabu depan,” katanya.

Beliau berkata sekumpulan 15 pelajar dan tiga guru antara kumpulan pertama yang akan menunaikan umrah memandangkan beberapa pelajar yang cedera masih menjalani rawatan dan tidak dapat ikut serta.

“Tarikh perjalanan untuk kumpulan kedua belum ditetapkan kerana masih ada yang cedera dan belum pulih sepenuh. InsyaAllah mungkin tahun depan,” katanya.

Jelas Vida, selain menunaikan umrah, pelajar dan guru terbabit juga akan dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah untuk mengimbau perjuangan Rasulullah SAW. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply