Empat Pelajar Sesat Ditemui

BATU PAHAT: Empat pelajar Tingkatan Dua yang dilaporkan sesat ketika beriadah di Hutan Lipur Gunung Soga, Batu Pahat, sejak petang semalam, ditemui selamat kira-kira 15 jam kemudian.

Mohd Amir Haziq, Mohd Azrul Azizi, Mustakim dan Mohammad Affiq, ditemui kira-kira 1 kilometer dari lokasi mereka masuk ke hutan itu oleh pasukan penyelamat, pada jam 10 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Fauzi Mohd Nor, berkata semua pelajar terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi dalam keadaan keletihan ketika ditemui oleh kumpulan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, daripada remaja itu dilaporkan mengalami asma berikutan cuaca hujan pagi tadi dan semua mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk pemeriksaan kesihatan.

Operasi SAR itu membabitkan 44 anggota iaitu 16 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 15 anggota polis dan 13 Angkatan Pertahanan Awam (APM), selain dibantu tiga orang awam sebagai jurupandu.

Fauzi berkata, pasukan dibahagikan kepada tiga kumpulan dan memasuki melalui arah berlainan iaitu Kampung Istana, Bukit Perdanai dan estet Sri Gading, dekat sini.

Kehilangan empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bentara Luar Batu Pahat, dekat sini itu disedari pada jam 7.15 malam tadi selepas seorang mangsa menghubungi rakannya memaklumkan mereka sesat dan tidak menemui jalan keluar dari hutan berkenaan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.