Kementerian Pendidikan Haramkan ‘Pass-out Game’

BANGI: Kementerian Pendidikan mengharamkan permainan dikenali sebagai cabaran ‘pass-out game’ di semua sekolah dan asrama di bawah kementerian berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan selanjutnya kepada pihak warden asrama dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah untuk mengekang perkara terbabit supaya tidak menjadi budaya dalam kalangan pelajar.

“Sekarang ini permainan pelik-pelik seperti ini pun ada, jadi ini memang tidak boleh dan perlu diharamkan. Kita perlu ambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Kaunseling Antarabangsa Malindo 5, di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Asosiasi Bimbingan Kaunseling Indonesia (ABKIN) Prof Dr Drs H Mungin Eddy Wibowo; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan Presiden Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (PERKAMA International), Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.

Baru-baru ini, sebuah video yang memaparkan sekumpulan remaja melakukan permainan yang dipanggil ‘pass-out game’ viral di media sosial dan mengundang kecaman netizen.

Pakar kesihatan memberi amaran permainan itu perlu dihentikan serta-merta kerana berbahaya iaitu boleh membawa maut dan kecacatan otak secara kekal.

Video berdurasi 15 saat itu menunjukkan sekumpulan remaja menekan dada rakan dipercayai yang menghentikan denyutan jantung pada tempoh masa singkat.

Seminar selama dua hari bertemakan ‘Kaunseling Merentas Sempadan dan Budaya’ itu dianjurkan Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA International) dan Asosiasi Bimbingan dan Kaunseling Indonesia (ABKIN).

Platform berkenaan membolehkan kedua-dua negara berkongsi hasil dapatan penyelidikan dan maklumat mengenai perkembangan perkhidmatan kaunseling di negara masing-masing. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.