Pusat Internet 1Malaysia Bantu Usahawan Madu Kelulut

KUALA LUMPUR – Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan menjual produk berasaskan madu kelulut yang hanya dilakukan dari dapur rumah pada 2011, Nur Isma Afifi Md Aris, 31, kini boleh berbangga apabila mampu memperoleh pendapatan mencecah RM20,000 sebulan.

Lebih membanggakan pemenang Anugerah Usahawan Terbaik Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) 2017 Peringkat Nasional ini bakal mengembangkan sayap perniagaannya dalam sektor agropelancongan apabila mula membina calet dan kolam renang di ladang penghasilan madu kelulutnya di Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah.

“Pada mulanya saya dan suami tidak mempunyai idea untuk meningkatkan hasil pendapatan syarikat kami JKM Sdn Bhd (Jelutong Kelulut Madu) malah perniagaan hanya dijalankan secara kecil-kecilan di kawasan kediaman kami.

“Namun segalanya berubah apabila PI1M mula dibuka di Belimbing Kanan, saya dan suami Mohd Riban Zainol@Shafie, 41, terus hadir sendiri ke premis berkenaan serta mendapat bimbingan dari pegawai di sana tentang teknik mempromosikan produk melalui platform dalam talian termasuk media sosial,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima anugerah yang disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada Konvensyen Industri Digital Bumiputera di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.