Bajet 2018: GB4B Kemuka Cadangan Pembangunan, Keperluan Belia

AYER KEROH: Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B) mengemukakan cadangan merangkumi keperluan dan permasalahan belia kepada kerajaan menjelang pembentangan Bajet 2018, hujung bulan ini.

Presidennya, Mohd Nizam Omar, berkata dalam cadangan itu juga turut membabitkan soal ekonomi dan kos sara hidup golongan terbabit, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Beliau berkata, GB4B juga mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan had kelulusan golongan itu untuk mendapatkan pinjaman perumahan direndahkan bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung mereka.

Katanya, pinjaman bank bagi pembelian kenderaan serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sering menjadi penghalang kepada kelulusan permohonan pinjaman perumahan, sekali gus menggagalkan golongan terbabit untuk memiliki kediaman.

“Kami mencadangkan supaya kadar faedah untuk pembelian kereta pertama dikaji semula dan diturunkan kepada satu kadar yang munasabah dan tidak membebankan.

“Kadar faedah ini hanya terpakai kepada pembelian kereta pertama dan keutamaannya hanya diberikan untuk kereta buatan tempatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua cadangan berkenaan dikemukakan kepada Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pada kunjungan hormat Ahli Majlis Tertinggi GB4B di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata, pada pembentangan Bajet 2018 itu juga, GB4B juga mencadangkan supaya kerajaan menyediakan skim khas untuk pertubuhan belia yang aktif berdasarkan rekod yang terdapat di Kementerian Belia dan Sukan.

Skim itu, katanya, perlu dikhususkan untuk pertubuhan belia sehingga ke peringkat akar umbi di seluruh negara bagi membolehkan setiap pertubuhan melaksanakan program selain menjalankan urusan pentadbiran mereka dengan sempurna.

“Bantuan berkenaan perlu diberi secara tahunan dan bukannya bersifat ‘one-off’, manakala jumlahnya pula haruslah selari dengan kehendak ekonomi semasa.

“Malaysia harus bersedia untuk berdepan dengan perubahan yang besar pada tahun depan berikutan pelantikan pengasas Alibaba, Jack Ma sebagai Penasihat Ekonomi Digital negara. GB4B menyambut baik semua cadangan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.