LHDN Sokong Rancang Persaraan

Pekerja di sektor swasta yang akan menamatkan perkhidmatan dalam pekerjaan penggajian tidak disediakan dengan skim persaraan sebagaimana penjawat awam yang sedia maklum mempunyai perancangan skim persaraan oleh kerajaan yang lebih sedia terjamin.

Tabungan hasil caruman selama pekerjaan penggajian melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan satu-satunya kebergantungan terakhir untuk digunakan oleh pekerja swasta selepas persaraan. Perancangan dan penggunaan tabungan ini memerlukan seseorang individu mahir dalam merancang kewangan mereka.

Langit tidak selalunya akan kekal cerah, bukit yang ditarah setiap hari juga akan rata. Ini yang berlaku kepada pesara yang rakus melihat sejumlah wang terkumpul yang diterima dan akhirnya statistik membuktikan terdapat pesara yang menghabiskan wang tabungan persaraan ini dalam masa kurang dari 3 tahun.

Namun begitu, sebagai pekerja yang bijak merebut peluang, perancangan persaraan masih boleh dilakukan dengan lebih terancang. Melalui Bajet 2012, kerajaan telah memperkenalkan Skim Persaraan Swasta (SPS) yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Ini bertujuan menggalakkan rakyat meningkatkan tabungan persaraan untuk hari tua.

Pekerja boleh memilih untuk melakukan caruman pelaburan ini ke pelbagai jenis dana yang disediakan oleh penyedia SPS. Dana teras di yang ditetapkan adalah mengikut kumpulan umur masing-masing seperti yang ditunjukkan di bawah:

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menggalakkan individu menambah simpanan bagi tujuan persaraan, caruman yang dibayar ke dana SPS oleh individu boleh dibenarkan sebagai potongan dalam pengiraan pendapatan bercukai seseorang individu yang bermastautin di Malaysia.

Sebagai contoh, seorang individu yang membuat caruman ke dalam dana skim ini dibenarkan potongan atas amaun yang dibuat terhad kepada tuntutan maksimum RM3,000 dalam satu tahun taksiran di bawah subseksyen 49(1D) ACP. Amaun RM3,000 ini adalah termasuk bayaran premium untuk anuiti tertangguh. Potongan cukai ini berkuatkuasa selama 10 tahun iaitu mulai tahun taksiran 2012 hingga tahun taksiran 2021.

Sebagai majikan juga boleh menggunakan kemudahan potongan caruman kepada pekerjanya bagi mengekalkan kesetiaan pekerja kepada syarikat.

Maklumat lanjut tentang kelebihan percukaian terhadap SPS ini boleh dirujuk di laman sesawang LHDNM di www.hasil.gov.my

Leave a Reply