Pengangkutan Awam Darat Laluan Ke Arah Peningkatan Produktiviti – Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata agenda pengangkutan darat negara bukan hanya tentang projek infrastruktur mega, oleh kerana, yang lebih penting adalah laluan ke arah peningkatan produktiviti dan keadaan hidup yang lebih baik bagi rakyat Malaysia.

Perdana menteri menegaskan dalam jangka panjang, sebuah rangkaian pengangkutan awam darat yang boleh dipercayai, bersepadu dan moden akan memacu pertumbuhan sosio ekonomi serta mempertingkatkan kualiti alam sekitar, kesemuanya amat penting bagi kelestarian pembangunan Malaysia.

“Ini merupakan sebab kami menjadikan transformasi pengangkutan awam sebagai agenda utama dalam perjalanan Program Transformasi Nasional (NTP),” katanya ketika berucap pada Simposium Pengangkutan Awam Darat di sini hari ini.

Memberi contoh kejayaan MRT Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang, Najib berkata rakyat dapat melihat bagaimana pengangkutan awam darat boleh menjadi pencetus perubahan sebenar dalam mengubah gaya hidup rakyat Malaysia dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberi laluan kepada mobiliti hijau serta pengurangan pelepasan karbon di Greater Kuala Lumpur.

Beliau berkata projek MRT, bermula daripada konsepsi sehingga kepada penyampaian, adalah suatu keutamaan kepada beliau, dan merupakan projek yang beliau sendiri selia setiap peringkat kemajuannya.

“Selain daripada hasrat melihat rakyat lebih mudah berulang-alik di bandar raya, saya juga tidak mahu Kuala Lumpur terkenal di peringkat antarabangsa hanya disebabkan masalah lalu lintas berbanding perkara lain, seperti yang berlaku di beberapa bandar raya lain di rantau ini, Kami memerlukan penyelesaian terbaik untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas menuju ke pusat bandar raya.

“Alhamdulillah, keputusan dan penerimaan MRT Laluan 1 amat memberangsangkan. Kejayaan menyiapkan MRT Laluan 1 membuktikan bahawa kita berupaya menyiapkan satu daripada projek infrastruktur transit aliran massa paling canggih dalam sejarah negara ini,” kata Najib.

Sambil menegaskan bahawa projek itu siap mendahului jadual dengan kos RM2 bilion di bawah anggaran, beliau berkata ini adalah, berdasarkan mana-mana piawaian, merupakan pencapaian cemerlang bagi sesebuah negara.

“Satu daripada faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini adalah kerja keras beribu-ribu orang rakyat Malaysia yang diambil bekerja untuk projek ini dan berjaya menjadikannya suatu kenyataan,” kata perdana menteri.

Beliau berkata kerajaan sedang menimbang untuk mempercepatkan cadangan projek MRT Laluan 3 meliputi kawasan seperti Bandar Malaysia, Mont Kiara, Sentul, Midvalley dan Setiawangsa. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.