Syarikat FLH, FIC Global Limited Hak Milik Sepenuhnya FIC – Pengerusi

PUTRAJAYA – Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) mengesahkan bahawa kedua-dua syarikat iaitu Felda London Hotel (Private) Limited (FLH) dan FIC Global Limited, yang didaftarkan di British Virgin Islands merupakan hak milik FIC sepenuhnya, kata Pengerusinya, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

Beliau juga mengesahkan bahawa FLH merupakan pemilik tunggal The Park City Grand Plaza Kensington Hotel di London manakala FIC Global Limited adalah pemilik tunggal Felda House and Grand Felda House, yang juga merupakan penginapan pelajar di London.

Sehubungan itu, beliau berharap penjelasan ini dapat menjelaskan tentang kekeliruan dan pertuduhan negatif terhadap status syarikat-syarikat tersebut yang telah diedarkan atau didedahkan oleh mana-mana pihak.

“Saya ingin menjelaskan bahawa apabila FIC membuat keputusan untuk membuat pelaburan di United Kingdom (UK), kita telah menubuhkan FIC London Hotel Pte Limited dan mendaftarkan syarikat itu di British Virgin Islands untuk tujuan pelaburan. Ini merupakan perkara biasa dilakukan dalam struktur pelaburan asing di UK bagi memaksimumkan faedah cukai.

“Selepas itu, terdapat perubahan dalam struktur pelaburan dan FIC telah menubuhkan satu lagi syarikat iaitu Felda London Hotel (Private) Limited (FLH). Oleh kerana kami mempunyai platform lain, syarikat pertama yang dibiarkan dorman telah dikeluarkan daripada senarai daftar oleh pihak berkuasa UK,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim. – BERNAMA

Leave a Reply