Tangisan Shahir Bukan Raih Simpati

KUALA LUMPUR: Artis kontroversi, Shahir Zawawi menafikan dia cuba meraih simpati apabila menitiskan air mata ketika mendendangkan lagu Mama Jangan Pergi di pentas akhir, AF Megastar, malam tadi.

Shahir, 29, sebaliknya mengaku, dia sebak apabila teringat ibunya ketika menyanyikan lagu yang mengangkat nilai kekeluargaan itu.

“Saya bukanlah orang yang mudah mengalirkan air. Namun, kali ini, lagu dinyanyikan menyentuh jiwa saya.

“Sebenarnya, saya cuba sebaik mungkin untuk tidak menangis. Ini disebabkan saya tidak mahu ia mengganggu persembahan. Kadang kala, vokal juga boleh berubah kerana emosi. Itu yang saya cuba kawal,” katanya kepada BH Online.

Pada pentas akhir malam tadi, selain lagu Mama Jangan Pergi, bekas juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan itu menyanyikan lagu Tapi Bukan Aku yang dipopularkan kumpulan Indonesia, Kerispatih.

Rakaman aksi Shahir menitiskan air mata ketika membuat persembahan pantas dikongsi netizen dan mendapat pelbagai reaksi. Ada yang mendakwa Shahir yang dihambat kontroversi dengan wanita dikenali sebagai Mona, cuba meraih simpati penonton.

Tambah Shahir, ketika berlakon, pengarah sukar membuatkan dirinya menitiskan air mata bagi menghidupkan babak sedih.

“Perkara begini tidak boleh dipaksa-paksa. Jadi bukanlah sengaja dibuat untuk meraih simpati,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply