2 Aktivis PPIM Dibawa Ke Mahkamah

KAJANG: Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi bersama Ketua Operasi unit itu, Ali Salimin dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas perbuatan khianat dan ceroboh.

Mereka dibawa menaiki kenderaan polis dan diiringi tiga lagi kenderaan pihak berkuasa itu pada jam 9.35 pagi selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, kira-kira pada jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim ketika ditemui pemberita, berkata dua individu berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

“Pagi tadi polis mengambil cap jari dan gambar mereka, kemudian meneruskan teruskan proses pendakwaan.

“Mereka akan dituduh melakukan perbuatan khianat dan menceroboh. Kita tunggu perincian pertuduhan dan berharap kedua-dua aktivis ini mendapat jaminan dan dibebaskan hari ini,” katanya.

Terdahulu, Yusuf dan Ali hadir di IPD Kajang kira-kira pada jam 8 pagi selepas diminta berbuat demikian oleh polis semalam.

Ia difahamkan berkaitan tindakan mereka menceroboh premis sebuah syarikat kenderaan pajak pada 10 Julai lalu bersama pemilik kenderaan berkenaan.

Tindakan itu selepas mereka menerima aduan daripada pemilik kenderaan yang mendakwa ditipu dalam proses pajakan sehingga menerima notis bank berkaitan tunggakan bayaran bulanan kenderaan masing-masing. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.