5,182 Graduan UPSI Terima Ijazah, Diploma

TANJUNG MALIM: Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-19 yang bermula hari ini, menyaksikan seramai 5,182 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Daripada jumlah itu, 101 graduan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (1,260), ijazah sarjana muda (2,785) dan diploma (1,036).

Istiadat konvokesyen di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini berlangsung selama tiga hari, disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI.

Yang turut hadir, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Dalam titah baginda, Tuanku Zara Salim mahu UPSI memiliki identiti sebagai universiti yang menghasilkan barisan graduan bersemangat patriotik kepada negara bangsa.

Raja Permaisuri Perak juga mahu graduan UPSI memahami prinsip utama yang termaktub dalam Perlembagaan negara serta memiliki azam dan semangat untuk membina warga Malaysia bersatu padu.

Selain itu, baginda mahu mereka menjadi warga negara berdisiplin dan setia kepada tanah air di bawah payung naungan pemerintahan Raja.

“Sebagai sebuah universiti yang tanggungjawab utamanya adalah untuk melahirkan pendidik, UPSI hendaklah berada di barisan utama, merintis pelbagai langkah.

“Melahirkan barisan graduan yang akan bersedia berada di barisan hadapan dan memenuhi tanggungjawab membina negara dan bangsa,” titah baginda.

Tuanku Zara juga menzahirkan penghargaan kepada tenaga akademik yang banyak mencurahkan pengetahuan secara penuh dedikasi dan melakukan segala usaha untuk memastikan pelajar mencapai kejayaan.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pengurusan dan staf sokongan yang menyediakan segala perkhidmatan untuk memudahkan pelajar melalui kehidupan semasa di kampus.

UPSI juga menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor, Ijazah Kehormat Doktor Kesukarelawan kepada Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby serta Profesor Emeritus kepada Prof Dr Mohd Bohari Ahmad.

Pada sesi pertama hari ini, seramai 586 dianugerahkan ijazah PhD, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda. – BERITA HARIAN

Leave a Reply