Che Ta Disangka Hamil Kerana Tubuh Berisi

KUALA LUMPUR: Rozita Che Wan berjanji tidak akan menyembunyikan kehamilan jika benar dirinya berbadan dua.

Disangka hamil selepas tersebar foto yang dirakam pada sesi fotografi koleksi pengantin Minaz menampakkan seolah-olah beliau mengandung.

Rozita sedar ramai peminat mahu beliau menimang cahaya mata lagi.

“Mana ada saya mengandung, semua itu usikan. Saya belum bersedia nak hamil lagi. Semalam saya ada fotografi baju koleksi pengantin Minaz, mungkin kerana badan saya sedikit naik, ada yang mula menyangka saya hamil.

“Kalau betul saya hamil, kenapa saya nak selindungkan benda yang baik. Kalau ya, sayalah yang teruja nak kongsi semua ini. Tapi selama ini doa mereka yang mahu lihat saya hamil, selalu saya aminkan,” katanya kepada BH Online.

Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata, sejak Aaisyah Dhia Rana makin besar, ramai peminat suka mengusiknya supaya berbadan dua lagi.

Tambah isteri Zain Saidin ini, beliau lebih percaya kepada kualiti berbanding kuantiti jika membicarakan soal anak.

“Cukuplah tiga anak ini dulu. Saya mahu berikan yang terbaik untuk mereka termasuk soal pendidikan. Kalau ada anak ramai, tapi tak mampu nak membahagiakan mereka pun tak seronok,” katanya.

Rozita sedang sibuk dengan program realiti keusahawanan, CEO Desa yang akan disiarkan TV3, akhir bulan ini. Rozita bersama Fizo Omar, Fahrin Ahmad dan Erma Fatima bertindak sebagai mentor.

Rozita berkahwin dengan Zain pada Disember 2013. – BERITA HARIAN

Leave a Reply