Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, terdapat beberapa lagi proses akhir yang perlu dilalui oleh pemohon selepas penyerahan borang permohonan tapak rumah di atas tanah yang berkeluasan kira-kira 1,800 hektar.

“Walaupun borang permohonan tapak rumah ini merupakan satu langkah awal, pemohon perlu memenuhi syarat bagi memastikan generasi kedua Felda benar-benar layak dan mereka yang belum memiliki rumah sendiri akan diberi keutamaan.

“Tapak perumahan generasi kedua ini juga telah dikenal pasti dan diratakan untuk tujuan racikan plot sebelum diagihkan kepada pemohon dan ini bukan satu proses yang mudah kerana kita perlu mengikut setiap prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Borang Perumahan Generasi Kedua Felda Chemplak Barat di Dewan Semai Bakti Felda Chemplak Barat, di sini.

Menurutnya, terdapat sedikit halangan kerana tanah-ta­nah yang dipohon merupakan tanah ladang dan tertakluk di bawah Seksyen 5 Kanun Tanah Negara (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

“Kita perlu batalkan warta tanah ini terlebih dahulu kerana tanah sedia ada merupakan tanah pertanian dan kita akan meminta pihak berkuasa negeri menukar status tanah ini kepada kawasan kediaman di bawah Seksyen 6 akta yang sama.

“Saya juga telah meminta pihak Felda untuk mengenal pasti agar setiap plot tanah ini sesuai untuk dibina rumah kera­na kita tidak mahu ada pemohon yang mendapat plot di kawasan gaung dan kolam yang tidak sesuai dibina rumah,” katanya.

Selepas ini tanah tersebut akan diagihkan secara kurniaan biasa dan beliau juga telah meminta bantuan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi mempercepatkan proses berkenaan.

“Sekiranya dalam rekod mendapati pemohon mempunyai tanah dan memiliki rumah, permohonan mereka akan terbatal serta-merta. Permohonan yang layak akan dibawa ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri untuk dinilai,” katanya. – UTUSAN ONLINE