Jangan Simpan Bakakuk, Senjata Api Buatan Sendiri

KOTA KINABALU: Polis Sabah meningkatkan usaha membanteras pemilikan secara haram senjata api buatan sendiri jenis bakakuk, sama ada bagi tujuan memburu atau mempertahankan diri.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata pihaknya serius bagi membendung pelbagai kes jenayah atau kematian akibat kecuaian yang berkaitan dengan penggunaan senjata berkenaan.

Beliau berkata, pemilikan serta penyimpanan bakakuk adalah haram kerana tidak dilesenkan dan pemiliknya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

“Sepanjang Januari hingga September tahun ini, kita melakukan 63 rampasan bakakuk di seluruh negeri berbanding 15 pada tahun lalu, dengan daerah tertinggi rampasan itu adalah Tawau, diikuti Keningau, Kunak dan Kinabatangan.

“Saya juga meminta orang awam yang memiliki bakakuk supaya menyerahkan senjata terbabit di balai polis berhampiran,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Bakakuk adalah sejenis senjata buatan sendiri yang memiliki keupayaan hampir sama dengan senapang patah.

Ia digunakan secara turun-temurun untuk memburu binatang dan menjaga tanaman.

Bagaimanapun, kebelakangan ini, selain ia dijadikan senjata untuk tujuan jenayah, beberapa kes kematian dan kecederaan dilaporkan akibat kecuaian dalam penggunaan bakakuk.

Kes terbaru berlaku pada 10 Oktober lalu di Kota Marudu. Dalam kejadian itu, seorang lelaki maut terkena tembakan dilepaskan daripada bakakuk oleh sepupunya di kawasan hutan Kampung Langkabungan 2 ketika memburu kijang.

Sementara itu, Ramili menegaskan, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di Sabah.

“Banyak kes (jenayah) di negeri ini berkait rapat  dengan penagihan dadah. Sehubungan itu, kita mahu bertindak lebih agresif dalam membendung gejala ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 petugas polis atas perkhidmatan cemerlang mereka. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.