Kim Chol Sah Rakyat Korea Utara

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini Rabu diberitahu bahawa Kedutaan Republik Rakyat Demokratik Korea telah mengesahkan Kim Chol sebagai rakyat negaranya.

Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA Asisten Supritendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata  surat pengesahan mengenai perkara itu  diterimanya daripada pihak kedutaan itu pada 17 Februari 2017.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata beliau sendiri mengambil surat pengesahan kerakyatan dan pasport Kim Chol dari pejabat Kedutaan Republik Rakyat Demokratik Korea.

“Pengesahan status individu si mati atas nama Kim Chol mengesahkan penama mempunyai pasport Republik Rakyat Demokratik Korea, yang tertera nombor pasport 836410070, tarikh lahir 10 Jun 1970,” katanya semasa  pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad.

Wan Azirul Nizam memberi keterangan pada perbicaraan kes rakyat Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan rakyat Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa bersama-sama empat orang lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2  (klia2) di Sepang pada 9 pagi, 13 Februari lepas.

Wan Azirul Nizam berkata hasil siasatannya terhadap manifes penumpang pesawat di klia2 dan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati Kim Chol memasuki negara ini pada 6 Februari 2017, yang direkodkan di pintu klia2.

Saksi itu juga memberitahu bahawa Siti Aisyah direkodkan keluar dari Malaysia pada 21 Januari 2017  di pintu klia2 manakala Doan direkodkan memasuki negara ini pada 4 Februari 2017 di pintu klia Server 3.

Mengenai penangkapan kedua-dua tertuduh, beliau berkata Siti Aisyah ditahan di Hotel Flamingo, Ampang manakala Doan ditahan di klia2.

Beliau berkata dua pegawai polis telah mengambil sebanyak 11 dan 10 barang kes masing-masing daripada Siti Aisyah dan Doan.

“Kesemua barang kes itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan pemeriksaan dan analisis siasatan kes,” katanya.

Mengenai empat lagi suspek kes pembunuhan itu yang masih bebas, Wan Azirul Nizam  berkata disebabkan kekurangan butiran peribadi empat suspek tersebut,  pihak polis masih belum dapat menangkap mereka.

“Saya hanya mendapat nama gelaran suspek-suspek itu dan tidak mendapat sebarang maklumat peribadi mereka termasuk butir pengenalan diri seperti nombor pasport dan nombor telefon.

“Bagaimanapun, pihak polis telah mengeluarkan arahan dan permohonan bantuan Cawangan Khas Bukit Aman dan Interpol (Polis Antarabangsa) untuk membantu mengesan kesemua suspek berkenaan,” katanya.

Beliau juga berkata seorang lelaki bernama Ri Jong-Chol, yang ditangkap berhubung kes itu, telah dibebaskan kerana tiada sebarang bukti untuk membuat pertuduhan ke atasnya.

“Lelaki itu ditahan kerana kereta jenis Naza Ria berwarna kelabu didaftarkan di atas namanya dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),  lelaki itu dilihat menghantar dua suspek yang masih bebas ke klia2 pada hari kejadian. Sebab itu, saya menahan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan.

“Bagaimanapun, Ri Jong-Chol telah diusir keluar dari negara ini kerana tiada bukti kukuh untuk disabitkan dalam kes ini,” katanya.

Semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengenai  lelaki bernama Muhammad Farid Jalaludin, beliau berkata lelaki berkenaan adalah seorang yang telah ditahan bersabit dengan kes itu namun dia diberikan jaminan bon mahkamah.

“Berdasarkan siasatan saya, Muhammad Farid dan Siti Aisyah adalah pasangan kekasih,” katanya.

Ketika disoal Wan Shaharuddin sama ada siasatan beliau berat sebelah, Wan Azirul Nizam menafikannya kerana beliau telah mengambil kira semua aspek siasatan iaitu saksi-saksi pendakwaan, percakapan kedua-dua tertuduh selain melihat dan melakukan perbandingan ke atas rakaman CCTV di tempat kejadian dan rakaman CCTV yang dimohon oleh peguam.

Saksi itu berkata beliau juga telah menghantar barang kes seperti sampel darah, kuku, bulu  dan pakaian ke bahagian toksikologi, DNA dan Senjata Kimia di Jabatan Kimia untuk dianalisis pada 16 Februari 2017 tetapi baju tanpa lengan warna kelabu dan skaf yang dipercayai dipakai Siti Aisyah hanya dihantar ke jabatan itu pada 20 September lepas.

Ditanya mengapa baju tanpa lengan dan skaf  itu dihantar ke Jabatan Kimia selepas hampir tujuh bulan kemudian, pegawai penyiasat itu mengakui ia merupakan kesilapannya.

“Saya terlepas pandang untuk menghantar barang kes itu kerana pada ketika itu saya terpaksa menguruskan jumlah barang kes yang terlalu banyak untuk kes ini.

“Saya ada menghantar barang kes ini di bahagian Chemical Weapon, tetapi terlepas pandang untuk menghantarnya di bahagian DNA,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung pada Khamis. – BERNAMA

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.