Siti, Eizlan Sedia Membantu Rakyat Yang Susah

KUALA LUMPUR: Golongan artis yang menerima darjah kebesaran dari Pahang bersedia membantu rakyat ditimpa musibah di negeri itu seperti digesa Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, hari ini.

Antara artis yang sudi berbuat demikian ialah penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin dan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof.

Mereka dianugerahkan darjah Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, semalam, dalam majlis istiadat sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar.

Menurut Siti, menjadi tanggungjawabnya untuk sama-sama menghulur bantuan kepada sesiapa saja yang memerlukan.

“Sebelum ini, Siti banyak melakukan kerja amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik menerusi Yayasan Nur Jiwa. Siti biasanya akan membantu sedaya yang boleh dengan pertolongan suami, syarikat korporat dan peminat.

“Sebagai anak jati Pahang, Siti juga pernah membabitkan diri dengan projek amal di negeri kelahiran Siti, seperti membuat persembahan dan larian amal, selain menyumbangkan bantuan dalam bentuk wang ringgit,” kata Siti kepada BH Online.

Sementara itu, Eizlan ketika dihubungi menyambut baik gesaan Pemangku Raja Pahang itu sambil menegaskan, semua pihak sepatutnya membantu golongan kurang bernasib baik.

“Mereka yang ditimpa musibah harus mendapat pertolongan sewajarnya daripada mereka yang berkemampuan. Saya sendiri banyak terbabit dalam kerja amal, terutama dianjurkan di Pahang. Artis lain juga sama-sama menjayakannya.

“Kalau ada acara kebajikan yang memerlukan pembabitan saya, Insya-Allah saya akan cuba tunaikan.

“Bantuan atau sumbangan ini boleh dilakukan dalam apa juga bentuk, bukannya dengan wang ringgit semata-mata,” katanya sambil menyifatkan anugerah itu sebagai amanah dan tanggungjawab yang besar.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis pengurniaan sumbangan kepada mangsa ribut di Taman Saga Ceria, Mentakab, Temerloh, di sini hari ini, Tengku Abdullah memberitahu gesaannya itu bukan berniat untuk menyindir, tetapi satu kenyataan kerana masih ramai rakyat di negeri terbabit memerlukan pembelaan, terutama yang dilanda musibah.

Katanya, mereka yang berkeupayaan perlu membantu mengurangkan beban mangsa dan kembali berbakti kepada negeri ini selepas menerima darjah kebesaran.

Pada kejadian Isnin lalu, 166 rumah terjejas apabila dilanda angin ribut menyebabkan kerugian dianggarkan lebih RM186,000. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.