Video Palsu ‘Makan Tuan’

KUALA LUMPUR: Gara-gara memuat naik satu rakaman video palsu, sembilan pekerja asing sebuah restoran di Sungai Chua, Kajang, ditahan kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan dan tinggal lebih masa di Malaysia, ditahan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata semua lelaki warga India berusia antara 20 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis yang membuat pemeriksaan ke restoran berkenaan sebaik menerima laporan mengenai dakwaan seorang lelaki didera oleh majikannya.

“Polis menerima satu laporan daripada pengadu yang menerima rakaman video melalui aplikasi WhatsApp yang memaparkan seorang lelaki menyatakan bahawa dia baru melarikan diri daripada orang upahan majikannya yang mahu memukulnya.

“Dalam video itu mangsa mendakwa sudah empat tahun didera oleh majikannya dan susulan laporan pengadu, polis melakukan pemeriksaan ke restoran terbabit dan menahan mangsa serta lapan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memberitahu polis bahawa dia ditumbuk dan ditendang oleh tiga rakan sekerjanya dan mengalami luka di bibir dan jari kaki serta sakit di bahagian punggung.

Katanya, berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran itu, mangsa dipercayai dipukul kerana cuba meminta gaji daripada salah seorang suspek yang bekerja sebagai juruwang.

“Semakan rakaman CCTV menunjukkan mangsa dalam keadaan mabuk dan telah meminta gaji kepada salah seorang suspek yang bekerja sebagai juruwang tetapi tidak diberikan atas alasan mangsa telah beberapa hari tidak bekerja. Lalu mangsa terus menyerang juruwang itu,” katanya

Ahmad Dzaffir berkata, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati semua pekerja yang ditahan itu tinggal lebih masa di negara ini dan memiliki dokumen tamat tempoh.

Mangsa dan kesemua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.