Zahirah Bagai Mahu Bunuh Kerjaya Saya – Kamal Adli

KUALA LUMPUR: Kamal Adli, 31, mendakwa pelakon yang dikaitkan ‘bermain cinta’ dengannya, Zahirah Macwilson, memutarbelitkan kenyataan seolah-olah mahu membunuh kerjaya dan menghancurkan hubungan dia dengan bekas kekasihnya, Emma Maembong, 25.

Kamal mendakwa, Zahirah, 22, memerangkap dirinya menerusi mesej perbualan dan memuatnaik paparan skrin berkenaan di laman Instagramnya, Rabu lalu. Bagaimanapun, paparan skrin itu sudah pun dipadamkan.

Bagi bintang Duda Pujaan Dara itu, terlalu banyak cerita yang diputarbelitkan hingga menyebabkan dia kelihatan seperti lelaki mata keranjang.

“Saya kecewa dengan sikap Zahirah yang memusing cerita. Zahirah memerangkap saya dengan menghantar mesej pada malam Selasa lalu. Saya tidak menyangka perbualan kami dijadikan perangkap untuk dimuatnaik di laman Instagramnya.

“Apa yang Zahirah mahukan? Tindakan Zahirah sangat biadap. Menghantar mesej untuk memerangkap saya, adakah itu (tindakan) bijak?” katanya dengan nada serius.

Zahirah Macwilson

Bercakap kepada BH Online, Kamal berkata, apa yang dilakukan Zahirah seperti mahu membunuh kerjayanya.

Akuinya, dia hanya sekali memetik nama Zahirah dalam mesej yang pernah dibaca Emma, namun sudah pun meminta maaf.

“Saya sering mempertahankannya kerana saya tahu, Zahirah tidak mahu kehilangan kekasihnya, Zul Ariffin. Saya bermati-matian mempertahankannya di hadapan Zul.

“Dalam mana-mana program hiburan atau akhbar, pernahkah saya muncul dengan memetik nama atau memburukkan Zahirah?” tanya Kamal.

Pelakon itu turut berkata, Zahirah sepatutnya berdiam diri dan tidak bersikap menangguk di air yang keruh, semata-mata untuk meraih perhatian.

“Kami semua pernah tiga kali bersemuka dan pada pertemuan terakhir, Zahirah memberitahu Emma, saya terhegeh-hegeh mendekatinya.

“Saya terkejut dengan kata-katanya, sedangkan sebelum itu, saya sudah berpesan kepada Zahirah jangan memutarbelitkan perkara sebenar.

“Saya menyelamatkan hubungannya dengan Zul dan saya harap, dia juga menyelamatkan hubungan saya dengan Emma.

“Saya mahu dia jujur, tetapi Zahirah tidak langsung mempertahankan saya. Saya bergaduh besar dengan Emma hingga dia minta putus,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.