Bajet Bukan Hanya Untuk Bola Sepak: KJ

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan peruntukan sukan sebanyak RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Bajet 2018 semalam akan dibahagikan bagi pembangunan pelbagai sukan dan bukan tertumpu pada sukan bola sepak sahaja.

“Saya sebenarnya masih belum tahu pecahan peruntukan itu nanti.

“Semalam Perdana Menteru ada menyebut bola sepak tapi pembangunan yang dimaksudkan merangkumi pelbagai sukan,” katanya yang ditemui ketika menyaksikan Kejohanan Terjun Grand Prix FINA Kuala Lumpur di Pusat Akuatik Nasional, di sini hari ini.

Khairy menjelaskan beliau akan menentukan sukan mana yang akan menerima peruntukan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan persatuan sukan kebangsaan.

Namun begitu semuanya tertakluk selepas perjumpaannya dengan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan pecahan kepada peruntukan yang akan disalurkan.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi mengekalkan momentum dalam usaha menjadikan Malaysia selaku gergasi sukan dunia termasuk inisiatif FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlet, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara.

Menurut Khairy, peruntukan itu terbesar yang diterima kementerian itu dan Perdana Menteri memberi pesanan supaya meneruskan kecemerlangan Sukan Olimpik Rio 2016 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“PM memberi peruntukan besar kerana mahu momentum diteruskan dan bukan hanya ketika kita menjadi tuan rumah Sukan SEA saja. Pesanan PM juga mahu pembangunan diutamakan untuk meramaikan atlet pelapis,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.