Penghargaan Atas Usaha Gigih Peneroka FELDA

MUAR: Pengumuman pelbagai bantuan kepada warga peneroka FELDA pada pembentangan Bajet 2018 dilihat sebagai satu bentuk penghargaan daripada kerajaan kepada masyarakat tanah rancangan berkenaan.

Malah, beberapa inisiatif kepada golongan peneroka termasuk berkaitan wang ses dan peruntukan bagi tujuan infrastruktur amat dinantikan oleh warga FELDA.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata sebelum ini hanya penanam getah yang menggantikan dengan tanaman getah baharu diberikan wang ses manakala peneroka yang menggantikan tanaman getah kepada kelapa sawit tidak mendapat manfaat terbabit.

“Bagi kami, pengumuman ini cukup melegakan dan menggembirakan selain beberapa peruntukan lain seperti bantuan RM200 juta untuk tujuan bekalan air, jalan raya dan lampu jalan serta bantuan RM164 juta bagi pembinaan rumah untuk generasi kedua FELDA.

“Inisiatif yang diumumkan pada Bajet 2018 juga dilihat akan memberi manfaat secara terus kepada peneroka. Bagi saya, peruntukan ini juga sebahagian daripada penghargaan terhadap golongan berkenaan kerana peneroka kita cukup kuat bekerja dan sentiasa bersama membangunkan tanah rancangan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui BH selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Karnival Pesta Panen di Parit Yusof di sini, hari ini.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, semua peruntukan dan bantuan ini membuktikan kerajaan sentiasa dekat dengan golongan peneroka dan pada masa sama akan memastikan pembangunan di FELDA diteruskan pada masa depan. – BERITA HARIAN

MUAR 28 OKTOBER 2017. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim (tengah) mencuba demonstrasi membanting padi ketika Majlis Penutup Karnival Pesta Panen di Parit Serong, Muar. NSTP/ADI SAFRI

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.