Warga FELDA Lega Dan Puas Hati

MUAR: Warga peneroka FELDA menganggap pengumuman kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2018 sebagai menyeluruh dan memberi kebaikan kepada seluruh lapisan masyarakat tanah rancangan itu di seluruh negara.

Ketua Kampung FELDA Lenga Batu 27, Abdul Jalil Abdul Saleh, berkata pihaknya sememangnya bersetuju dan menyambut baik pengumuman khususnya membabitkan isu perumahan generasi kedua FELDA.

“Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengenai beberapa perkara seperti pembayaran insentif khas peneroka, wang ses bagi tanaman semula sawit dikembalikan semula kepada peneroka sememangnya memberi kelegaan kepada masyarakat FELDA secara umumnya.

“Selain itu, peruntukan RM164 juta bagi membina rumah generasi kedua dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sememangnya melegakan khususnya golongan muda di kawasan FELDA. Ini kerana pemilikan rumah antara isu utama di FELDA kerana ia adalah perkara mustahak dan amat diperlukan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Abdul Jalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan generasi pertama tanah rancangan terbabit berkata pihaknya amat bersetuju dan yakin ia boleh memberi manfaat besar kepada masyarakat peneroka kelak.

Menerusi pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri mengumumkan bayaran insentif khas sebanyak RM5,000 membabitkan 112,000 peneroka, selain wang ses yang telah dibayar oleh peneroka yang membuat penanaman semula kelapa sawit dari 2010 hingga 2016 akan dikembalikan semula kepada peneroka.

Pada pembentangan bajet sama, sebanyak RM164 juta diperuntukkan bagi membina 5,000 unit rumah generasi kedua FELDA dengan kerjasama SPNB.

Selain itu, sebanyak RM60 juta diperuntukkan untuk program tanam semula kelapa sawit dan RM200 juta lagi diperuntukkan bagi tujuan seperti bekalan air, jalan raya dan lampu jalan di kawasan FELDA.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi FELDA Sri Jaya Berhad, Khairul Izam Abd Samad, berkata pengumuman Bajet 2018 dilihat mampu memberi manfaat dan keuntungan kepada masyarakat FELDA di seluruh negara.

“Peruntukan yang disediakan kerajaan itu dilihat memberi faedah besar kepada masyarakat FELDA. Saya secara peribadi amat bersetuju dengan bajet kali ini kerana ia turut membabitkan perkara yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh masyarakat FELDA sejak dari dahulu lagi.

“Mengenai perumahan FELDA dengan kerjasama SPNB juga dilihat dapat membolehkan generasi tanah rancangan berpeluang mendapatkan kemudahan terbabit. Ini kerana rumah yang disediakan SPNB juga dilihat lebih berpatutan dan murah berbanding projek sama yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.