5 Elemen Pastikan TN50 Tercapai

SANTUBONG: Majoriti belia negara menggariskan lima elemen penting perlu dilaksanakan bagi memastikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) tercapai yang antara intipati utama adalah sikap kebertanggungjawaban.

Selain kebertanggungjawaban membabitkan masyarakat dan ahli politik, elemen lain yang dikehendaki belia adalah melihat Malaysia sebagai negara bersatu; adil dan saksama dalam agenda pembangunan; lestari menguruskan sumbernya dan negara mempunyai daya saing peringkat global.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, justeru pihak kementerian akan membentangkan Laporan Belia 2050 pada Januari depan sebagai memberi input kepada Dasar TN50 yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 16 September tahun depan.

“Sehingga kini pihaknya sudah bersemuka dengan lebih 1.5 juta belia di seluruh negara, termasuk menerima aspirasi golongan berkenaan dari media sosial selain mendapat input menerusi Dialog Transformasi TN50.

“Aspirasi belia yang sudah kita kumpulkan sehingga kini sudah berjumlah 80,000 aspirasi yang merangkumi lima elemen terbabit.

“Perlu diperjelaskan adalah aspirasi berkenaan sudah diambil kira kerajaan, malah ada aspirasi disuarakan belia dipersetujui dan diambil tindakan menerusi pembentangan Bajet 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Dialog Transformasi TN50, di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak, di sini sebentar tadi.

Seramai 300 belia negeri ini dari seluruh pelusuk Sarawak hadir pada majlis dialog berkenaan yang majoritinya mahukan Kerajaan Pusat meningkatkan prasarana pendidikan, menaiktaraf sambungan internet termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Hadir sama, Menteri Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sementara itu, Khairy berkata, belia Sarawak disifatkan mempunyai aspirasi unik kerana mahu kekayaan etnik dan budaya masyarakatnya dikekalkan tanpa perlu budaya luar dibawa masuk ke negeri itu menjelang 2050.

“Malah, mereka mahu kekayaan budaya bukan sahaja di Sarawak, budaya masyarakat Malaysia diperkenalkan di negara luar sebagai simbol kepelbagaian. Mereka mahu kepelbagaian ini dilihat sebagai kekuatan dan bukannya liabilti untuk negara,” katanya.

Katanya, belia Sarawak juga menginginkan pembangunan asas seperti pendidikan dan laluan jalan raya dimajukan selaras dengan sistem sambungan internet berkualiti.

“Mereka cukup bersemangat apabila bercakap berkenaan dasar ekonomi digital yang digagaskan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, dan mahu sistem sambungan internet dijadikan satu keperluan penting seperti mana pendidikan dan pembinaan prasarana asas lain,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.