Aksi Felda Raih Pujian Sathianathan

Pengendali Felda United, B. Sathianathan, memuji kebangkitan pemain-pemainnya ketika menewaskan PKNS FC 4-2 dalam aksi terakhir Liga Super 2017 di Stadium Selayang kelmarin bagi mengesahkan kedudukan tempat ketiga musim ini.

Selepas tumpas di peringkat separuh akhir Piala Malaysia, Sathianathan mengakui moral anak-anak buahnya sedikit terjejas tetapi berjaya mempamerkan kebangkitan untuk menundukkan skuad kendalian Adam Abdullah itu.

Jaringan hatrik Thiago Fernandes dan satu gol daripada Zah Rahan Krangar menamatkan kempen liga Felda pada tahun ini dengan 39 mata, dibezakan hanya satu mata dengan naib juara, Pahang.

“Kalau kami tewas dalam separuh akhir, sukar untuk kami bangkit tetapi mujur pemain-pemain mempamerkan aksi hebat walaupun ketinggalan di awal aksi.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Shukor Adan yang memainkan peranan penting selepas saya mengubah posisinya daripada pertahanan ke bahagian tengah pasukan dan dia berjaya menggerakkan setiap pergerakan pasukan,” kata Sathianathan.

Sementara itu, bagi Adam Abdullah yang memangku jawatan ketua jurulatih PKNS FC, dia tidak dapat menyembunyikan kekecewaan di atas kekalahan itu sambil menyeru agar pihak pengurusan melakukan persiapan lebih awal pada musim depan,

“Pihak pengurusan telah memberitahu sejak awal ingin menyaksikan persembahan individu daripada pemain-pemain dalam perlawanan terakhir.

“Beberapa calon ketua jurulatih juga ada datang menonton perlawanan untuk menilai pemain-pemain,” ujar Adam. – STADIUMASTRO.COM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.