Dua Cedera Ditembak

KAJANG: Seorang majikan sebuah syarikat pengurup wang bersama seorang pekerjanya cedera ditembak di hadapan sebuah perhentian bas di Bandar Teknologi Kajang, malam tadi.

Majikan, wanita warga tempatan berusia 61 tahun dan pekerjanya lelaki warga Pakistan berusia 33 tahun dipercayai cedera di bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof, berkata kejadian berlaku kira-kira pada jam 9.30 malam ketika majikan terbabit menghantar pulang pekerjanya.

“Ketika pekerja itu turun daripada kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dipandu majikan berkenaan, suspek dipercayai menghampiri kereta mangsa dengan menggunakan kereta jenis Proton Waja.

“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sekali gus mencederakan mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dzaffir berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai samun bersenjata api.

“Kita akan mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada mangsa sebaik sahaja mereka selesai menerima rawatan di Hospital Kajang.

“Siasatan di lokasi kejadian oleh Unit Forensik juga menemui beberapa kelongsong peluru.

“Kita percaya suspek terdiri lebih daripada seorang individu, dan berdasarkan kepada pekerjaan mangsa, kita percaya motif kejadian adalah cubaan samun,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.