Rekod Nur Aiman Tak Diiktiraf

NILAI: Pelumba pelapis kebangsaan, Muhammad Nur Aiman Rusli melakar kejutan apabila memecahkan rekod remaja Asia dan kebangsaan dalam acara satu kilometer ujian masa di Kejohanan Trek Junior Cycling Malaysia (JCM) di Velodrom Nasional Malaysia, sebentar tadi.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Johor berkenaan terpaksa akur apabila catatannya tidak diiktiraf kerana ia dijalankan secara manual dan tidak menggunakan sistem elektronik seperti yang ditetapkan.

“Saya akan cuba lakukan catatan yang lebih baik pada masa depan. Saya tidak kecewa kerana ini kali pertama sertai acara ini,” jelas Nur Aiman.

Menjelaskan lebih lanjut, Pengarah Teknikal bagi program MSN/JCM, Yunus Ibrahim, berkata kejohanan trek itu kali pertama dianjurkan selepas lebih tertumpu kepada lebuh raya.

“Kita tidak dapat mengiktiraf rekod berkenaan kerana menggunakan catatan masa secara manual selain jadual yang padat susulan banyak kategori peringkat umur yang dipertandingkan.

“Ia tidak menjadi isu kerana perkara ini sudah dimaklumkan kepada semua pasukan bertanding sebelum kejohanan bermula. Bagaimanapun, semua kekurangan dan kelemahan akan diperbaiki dari masa ke semasa,” kata Yunus yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Terdahulu, Nur Aiman mempamerkan kayuhan bertenaga apabila melakarkan masa satu minit 03.492s untuk menjuarai acara berkenaan.

Ia mengatasi rekod remaja Asia dan kebangsaan yang dipegang Mohd Firdaus Zonis 1.03:962s ketika melakukannya pada Kejohanan Berbasikal Remaja Asia pada 2014. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.