Geng Penyamun Wanita Tumpas

SEPANG: Polis menumpaskan kumpulan peragut barangan kemas yang giat melakukan kegiatan jenayah itu di sebuah pusat beli belah dekat Putrajaya berikutan penahanan empat suspek pada 19 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata berikutan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes ragut berkumpulan dan curi barangan kosmetik di lokasi yang sama.

“Kesemua suspek wanita berusia antara 18 hingga 47 tahun ini berasal dari Sabah dan sudah melakukan kegiatan jenayah terbabit sejak 2010 bermula dengan enam kes di utara tanah air, lazimnya mensasarkan kawasan tumpuan awam.

“Modus operandi geng ragut ini adalah dengan mengikuti kanak-kanak yang memakai barangan kemas sebelum memotongnya dengan pengetip kuku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang, Deputi Superintenden Fairus Jaafar dan Pegawai Penyiasat Kanan, IPD Sepang, Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

Tangkapan dilakukan susulan laporan ibu salah seorang mangsa selepas menyedari kehilangan rantai emas dipakai anaknya yang berumur tiga tahun dan hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) berjaya mengesan empat wanita yang

dilihat menarik rantai emas mangsa.

Kesemua suspek ditahan reman di Mahkamah Majistret Sepang bermula 19 hingga 25 Oktober lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 380 Kanun Keseksaan manakala nilai rampasan barang curi yang ditemui RM6,000.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz memaklumkan pihaknya sedang memburu seorang suspek kes bunuh warga Bangladesh di Kampung Dato Abu Bakar Baginda, Dengkil pada 28 Oktober lalu.

Katanya, suspek berkenaan, yang dikenali sebagai Johari dan berasal dari Madura, Indonesia, juga adalah suami kepada wanita yang dikatakan menjalin hubungan cinta dengan mangsa kes bunuh itu.

“Polis percaya suspek masih berada dalam negara dan kita sudah minta pihak keselamatan membuat pemantauan di semua sempadan negara,” katanya.

Selain itu, Abdul Aziz turut memaklumkan pihaknya sedang memburu 30 suspek berumur antara 25 hingga 51 tahun yang terbabit dengan pelbagai kes seperti merusuh, cubaan mencuri, samun dan curi motor sejak 2010.

Katanya, ramai boleh melayari Facebook IPD Sepang bagi mendapatkan maklumat kesemua suspek terbabit dan seterusnya membuat laporan di balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.