Pindaan Ke Atas Hukuman Mati Mandatori

PUTRAJAYA: Hakim mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman selain daripada mati mandatori jika Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 diluluskan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata pindaan itu adalah cadangan yang fleksibel kepada kerajaan dan membolehkan hakim menggunakan budi bicara, bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan oleh orang yang dituduh.

“Cadangan pindaan itu sebenarnya datang daripada saya apabila hakim mahkamah menyuarakan mereka sukar menjatuhkan hukuman mati mandatori sekiranya tertuduh atau pesalah tidak patut dikenakan hukuman berkenaan.

“Tetapi ketika ini, mereka (hakim) tidak mempunyai pilihan lain kerana ia adalah mandatori. Jadi, saya cadangkan kepada kerajaan untuk menjadikan ia lebih fleksibel, memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah menjatuhkan hukuman selain daripada hukuman mati mandatori.

“Sebagai contoh, keldai dadah, mereka diperdaya sebagai mangsa, hanya melakukan sahaja perbuatan membawa barang untuk mendapatkan bayaran sedangkan tidak tahu bahawa barang yang dibawa adalah dadah. Jadi, ini mungkin antara kategori yang boleh dijatuhkan hukuman lain selain mati mandatori.

“Sebaliknya, mereka yang menjadi ejen atau pengedar dadah adalah pesalah yang sepatutnya dikenakan hukuman mati,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga yakin Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dapat dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

“Draf Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 sudah disiapkan dan ia (pembentangannya) bergantung kepada sesi Parlimen, dijangka tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung kedaulatan Batu Puteh, Mohamed Apandi berkata setakat ini terdapat pengurusan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 11 September lalu dan mahkamah menerima permohonan pendengaran untuk semakan dan tafsiran penghakiman.

“Selain itu, mahkamah juga bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk memfailkan lebih banyak dokumen, dan ketika ini kita sedang dalam proses memfailkan dokumen itu,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.