KFA Nafi Jualan Tidak Telus

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini menjelaskan bahawa penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, dijalankan secara telus.

Timbalan Presidennya, Datuk Paduka Syed Unan Syed Abdullah, berkata sebanyak 34,000 keping tiket diperuntukkan kepada Kedah dengan 30,000 tiket dijual secara luar talian manakala baki 4,000 tiket lagi dijual secara dalam talian.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 17,600 tiket diberikan kepada 400 pemegang permit bas, 1,800 tiket untuk 36 buah badan gabungan KFA, 1,200 tiket kepada pemain dan pegawai KFA, 700 tiket kepada Ahli Badan Eksekutif KFA, 500 tiket kepada penaja dan 200 tiket secara keseluruhan kepada kakitangan KFA.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan 22,000 tiket telah diperuntukkan kepada 400 pemegang permit bas dan kuota KFA. Baki 8,000 tiket telah dijual di empat kaunter penjualan yang membabitkan lapan laluan yang dibuka pada pukul 9 pagi, semalam.

“Sekeping tiket dijual dengan harga RM50 dan proses penjualan berjalan dengan cepat kerana ia tidak melibatkan pertukaran wang kecil dan sebab itu ia habis dijual dalam tempoh 45 minit. Jadi, tidak benar dakwaan kita simpan tiket berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini.

Semalam, ratusan penyokong Kedah berkumpul di hadapan pejabat KFA dekat Stadium Darul Aman bagi menyatakan kekecewaan mereka kerana tidak mendapat tiket perlawanan selain mendakwa persatuan itu menyimpan sebahagian tiket berkenaan untuk individu tertentu.

Syed Unan Mashri berkata, KFA juga telah membawa empat wakil kelab penyokong sewaktu mesyuarat penyelarasan tiket dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menjamin ketelusan pembahagian tiket, selain menjemput wakil dari sembilan kelab peminat untuk memantau proses penjualan tiket di kaunter, semalam.

Beliau berkata, jumlah bas yang pada awalnya sebanyak 200 buah telah ditambah kepada 200 lagi berikutan permintaan yang banyak daripada penyokong dari semua daerah.

Dalam pada itu, Syed Unan Mashri berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah datang ke pejabat KFA bagi menyiasat laporan berhubung ketidaktelusan penjualan tiket selepas menerima laporan daripada penyokong Kedah dan KFA sedia untuk disiasat.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, KFA sentiasa menghargai sokongan penyokong, namun tidak mampu untuk memenuhi jumlah permintaan tiket yang banyak kerana jumlah yang diperuntukan telah ditetapkan. – BERNAMA

Leave a Reply