Safiq Sekarang Bukan Yang Dulu: Santokh Singh

KUALA LUMPUR: “Dia sekarang macam ‘Superstar’. Bagi sajalah apa dia nak cakap, biarkan saja,” kata legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh mengenai perubahan sikap bekas pemain produk akademi bola sepak Selangor, Safiq Rahim yang dikenalinya seorang pemain yang baik dan sederhana.

Namun, tindakan keterlaluan ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang mencarut untuk melepaskan geram kepada pengkritiknya ketika meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan menjulang Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu lalu, amat mengejutkan Santokh yang tidak menyangka Safiq akan mengeluarkan kata-kata kesat itu.

“Saya nak ulas lebih pun tak boleh, itu pilihan dia. Dulu masa dia remaja, saya pernah tengok dan tahu pasal dia. Tak samalah macam dulu, sekarang lain dah ‘star’ sebab itu tak kisah nak buat apa pun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menerusi rakaman video berdurasi satu minit yang sempat dirakam pihak media, Safiq mengeluarkan kata-kata “P….. kepada semua pengkritik, wa (saya) champion (juara) sekarang,” kata Safiq dalam rakaman itu.

Ekoran tindakannya itu, dia menerima kecaman hebat daripada penyokong bola sepak tanah air yang mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengendali liga tempatan iaitu Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menghukumnya seperti mana yang pernah diterima bekas pemain Pahang, Ahmad Syamim Yahya.

Dalam kes Syamim, dia didenda RM500 dan gantung satu perlawanan kerana menunjuk isyarat lucah kepada rakan sepasukannya ketika aksi antara Pahang dan Melaka United dalam aksi Liga Super pada 25 Februari lalu.

Jelas Santokh, selaku pemain profesional Safiq sepatutnya mengambil semua kritikan penyokong dengan positif dan jadikan ianya sebagai suatu cabaran kepadanya.

“Saya juga pernah dihentam penyokong selepas kami kalah dalam perlawanan. Tetapi tidaklah sampai nak maki semula penyokong sebab tanpa mereka saya tidak akan ke mana-mana.

“Dalam bola sepak, kita perlukan kritikan ini dan harus terima kritikan itu. Sebenarnya kritikan itu bagus untuk bola sepak dan juga baik untuk individu.

“Bagi saya, jika ada peminat kritik saya semangat saya akan lebih kuat untuk tunjukkan sesuatu kepada mereka. Tapi pemain sekarang saya tak tahulah, bila kena kritik mereka macam tak boleh nak terima. Mungkin sebab ada orang besar kat belah dia,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply