Wan Zack Masih Bersama Felda United: Sathia

PENGENDALI Felda United, B Sathianathan mengesahkan pemain sayapnya Wan Zack Haikal kekal bersama pasukan itu untuk musim depan, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi bahawa pemain berusia 26 tahun itu akan berkelana ke pasukan lain.

“Saya sudah dapat pemain yang akan bermain bersama Felda United musim  depan dan beberapa tonggak seperti Shukor Adan dan Wan Zack sudah menyatakan persetujuan untuk bersama kami.

“Jadi, tak betul lah ada khabar angin yang kata beberapa pemain tonggak akan berhijrah dari Felda United, “katanya.

Sebelum ini timbul spekulasi yang menyatakan Wan Zack diintai beberapa pasukan termasuk Kelantan dan sedang berkira-kira sama ada ingin menyambung kontrak bersama The Fighters atau tidak.

Sementara itu, Sathianathan turut mengesahkan sedang mengintai dua import baharu untuk mengukuhkan pasukan musim hadapan.

“Saya baru pulang dari Indonesia untuk melihat import yang bermain di sana. Setakat ini dua pemain sedang dalam penilaian.

“Seorang pertahanan tengah dan seorang lagi penyerang untuk membantu Thiago Fernandes,” katanya

Jelasnya, lima pemain tempatan juga telah menandatangani kontrak dengan Felda dan enam pemain sedia ada digugurkan dari pasukan. – SINAR HARIAN

Leave a Reply