Penyediaan Taman Permainan Kanak-kanak Perlu Ikut Standard, Garis Panduan – Noh

PUTRAJAYA – Setiap pembinaan dan penyediaan taman permainan kanak-kanak perlu mengikuti standard Dasar Landskap Negara dan menepati Garis Panduan Landskap Negara Taman (GPLNT), kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menentukan segala standard dan keperluan bagi taman permainan dipenuhi di peringkat perancangan iaitu kelulusan pelan pembangunan yang mengambil kira keperluan ruang yang mencukupi, reka bentuk, penyediaan dan pembangunannya mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berwajib.

Katanya Dasar Landskap Negara antara lain menekankan landskap yang berkualiti serta mampan dan diperkukuhkan dengan perundangan serta garis panduan landskap yang komprehensif manakala GPLNT menentukan keperluan ruang, susun atur, reka bentuk, elemen landskap lembut dan kejur bagi membangunkan sesebuah taman permainan yang berkualiti, berfungsi serta keperluan penyelenggaraan yang rendah.

“Sesebuah taman permainan berjaya memenuhi fungsi pembinaannya jika taman itu mempunyai reka bentuk yang sempurna, menepati ciri-ciri yang ditetapkan berdasarkan keperluan dan keadaan fizikal kanak-kanak serta selamat untuk digunakan.

Taman permainan yang baik mampu menyediakan pelbagai bentuk pengajaran dan juga persekitaran bermain yang baik, selamat, menyeronokkan serta dapat memberikan kesan yang maksimum kepada perkembangan kanak-kanak mengikut peringkat perkembangan umur masing-masing,” katanya semasa merasmikan Seminar Kebangsaan Taman Permainan Kakan-Kanak 2017: Pemakaian Standard Malaysia MS 966:2017 dan MS 2665:2017 di sini hari ini. – BERNAMA

Leave a Reply