CUKAI LANGSUNG PENYUMBANG TERTINGGI HASIL KERAJAAN  (BAHAGIAN 1)

Pada hari ini persidangan di dalam dewan Parlimen hari ini gamat apabila ahli Parlimen Barisan Nasional Bagan Serai, Yang Berhormat Noor Azmi Ghazali mengusurkan cadangan tentang pentingnya penerangan yang jelas tentang cukai yang dikenakan kepada rakyat Malaysia.

“Penerangan yang lebih mantap dan jelas (tentang cukai) supaya rakyat tidak terkeliru dan tertipu dengan anasir-anasir (jahat) ini”, ujar beliau di dalam dewan Parlimen tersebut.

Kekecohan turut berlaku apabila ahli Parlimen DAP Taiping Nga Kor Ming mula berdiri tanpa mengikut peraturan dewan yang mulia dengan menyatakan “adakah cukai Malaysia Good & Service Tax (GST) membebankan rakyat”.

Salah faham secara keseluruhan isu percukaian perlu di tangani satu persatu. GST bukanlah penyumbang hasil kerajaan utama yang perlu dijadikan besar. Pemahaman perlu tentang keperluan percukaian di adakan di negara kita, Malaysia. Begitu juga bagaimana hasil cukai dan lain-lain kutipan hasil menyumbangkan kepada jumlah keseluruhan hasil kerajaan persekutuan.

Begitu juga tentang peranan dan fungsi dua agensi utama kerajaan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertungkus lumus memastikan hasil kerajaan dapat dikutip dengan lebih efektif.

Merujuk kepada laporan daripada Kementerian Kewangan Malaysia menunjukkan peredaran pungutan hasil dan peruntukan perbelanjaan negara bagi Bajet 2018. Pecahan daripada sejumlah RM280,250 juta saluran masuk hasil kerajaan dan ke mana peruntukan yang dibelanjakan.

Berdasarkan hasil kerajaan yang diperolehi untuk tahun 2018, cukai langsung merupakan penyumbang tertinggi kepada 42.6% jumlah keseluruhan hasil kerajaan. Hasil cukai langsung ini terdiri daripada kutipan hasil kerajaan tertinggi dari cukai pendapatan syarikat (CITA), cukai pendapatan individu dan seterusnya cukai pendapatan petroleum (PITA).

Hasil kutipan dari CITA dijangka meningkat sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan peningkatan keuntungan syarikat yang berterusan. Usaha yang berterusan dalam meningkat pentadbiran cukai dan pematuhan cukai oleh LHDNM terutamanya melalui audit yang lebih ketat dan penyiasatan terperinci membantu menyumbangkan kutipan yang lebih tinggi. Ini termasuklah kerjasama rentas sempadan melalui pertukaran maklumat antara pihak berkuasa cukai dalam bidang kuasa yang berbeza.

Manakala cukai pendapatan individu turut menyumbang kepada kutipan hasil kerajaan berikutan pertumbuhan gaji yang stabil dan bilangan fail cukai pada akhir September 2017 yang lebih tinggi iaitu 7.2 juta fail berbanding 6.9 juta fail pada tahun 2016.

Begitu juga kutipan cukai langsung hasil yang lain seperti duti setem turut menyumbang kepada hasil cukai langsung selaras dengan pertumbuhan ekonomi lebih tinggi, pasaran hartanah yang memberangsangkan dan juga pasaran saham dan insurans yang stabil.

Manakala cukai tidak langsung turut menduduki tempat kedua tertinggi sebanyak 22.8% daripada jumlah hasil keseluruhan kerajaan. Hasil cukai tidak langsung ini terdiri daripada GST, duti eksais, duti import dan duti export.

Lebih separuh dari hasil kutipan GST yang tertinggi adalah daripada GST ke atas barang dan perkhidmatan yang diimport. Ini menjadikan sektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal terus menjadi penyumbang utama kutipan keseluruhan GST.

Selain itu, duti eksais peyumbang kedua terbesar hasil kutipan cukai tidak langsung daripada kenderaan bermotor dan rokok.

Oleh itu pemahaman sangat perlu tentang apakah hasil kerajaan disumbangkan dan bagaimana usaha-usaha dijalankan untuk mendapatkan hasil kerajaan yang tertinggi sebelum kita melihat bagaimana hasil ini diperuntukkan semula kepada pembangunan negara dan kebajikan rakyat.

Leave a Reply