UMS Melahirkan Graduan Berdaya Saing

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus menjadi antara universiti yang mampu melahirkan graduan berdaya saing di negara ini.

Sehubungan itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin selaku Canselor UMS, meminta graduan memperkukuhkan personaliti dan bersedia melaksanakan transformasi fizikal dan minda.

Stakat ini, katanya, UMS sudah melahirkan seramai 66,548 graduan dan UMS adalah antara universiti yang mampu melahirkan graduan berdaya saing.

“Graduan yang memiliki nilai murni akan menjadi modal insan yang berintegriti dan produktif, sekali gus pemimpin ulung pada masa hadapan,” katanya pada majlis pembukaan Konvokesyen UMS Ke-19 di Dewan Canselor di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

Seramai 5,313 graduan UMS akan menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen yang berlangsung tiga hari bermula hari ini.

Ia membabitkan 59 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), sarjana (576), sarjana muda (4,632) dan diploma (46).

UMS turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Perancang Pembangunan Ekonomi Bumiputera Negeri Sabah, Tan Sri Abdul Ghani Gilong.

Sementara itu, Abdul Ghani dalam ucapan balas melahirkan rasa terharu atas anugerah itu yang menghargai jasanya dalam membangun nasib Bumiputera.

“Perjuangan saya bertitik tolak daripada perjuangan menjayakan penubuhan Malaysia, dan menghasilkan pelbagai portfolio menteri di Kabinet Persekutuan pada era Perdana Menteri pertama sehingga ketiga,” katanya.

Anak petani dari Ranau itu berupaya meletakkan ekonomi anak negeri berada pada paras yang terbaik.

Pada usia 85 tahun, Abdul Ghani masih memperjuangkan pribumi anak negeri ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply