Wanita Maut, Suami Anak Cedera Kemalangan

DUNGUN: Seorang wanita maut manakala suami dan dua anaknya cedera selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar kaki bukit di Kilometer 343.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Paka, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 10 pagi itu, Noorhafizah Omar, 31, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandunya.

Ketika kejadian, mangsa bersama suaminya, Azlan Ismail, 31, dan dua anak mereka, Mohd Adam Haikal, 5, dan Nor Alisya Sufas, 3, yang tinggal di Kapar, Selangor dalam perjalanan pulang ke kampung di Teras Mentuan, Kubang Kerian, Kelantan.

Setiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mereka terbabas dipercayai akibat jalan licin kerana hujan lebat, sebelum melanggar kaki bukit di tepi lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

“Suaminya dan dua anak mangsa yang cedera ringan turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.