Bajet 2018 Dilulus Tanpa Pindaan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2018 atau Bajet 2018 pada jam 8.45 malam tadi.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, ketika mengumumkan keputusan itu, berkata RUU membabitkan peruntukan RM280.25 bilion itu diluluskan tanpa pindaan menerusi undi sebulat suara.

Rang undang-undang itu dibentang untuk bacaan kali ketiga atas nama Menteri Kewangan yang dicadangkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dan disokong Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Hamim Samuri.

“Saya mohon memaklumkan iaitu jawatankuasa menimbangkan usul cadangan Dewan ini RUU Perbekalan 2018 dipertimbangkan dipersetujui tanpa pindaan.

“Suatu jumlah tidak lebih daripada RM48 bilion dibelanjakan daripada kumpulan wang pembangunan bagi tahun 2018,” kata Johari.

Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, pada 27 Oktober lalu, sebelum mula dibahaskan 30 Oktober lalu.

RUU berkenaan kemudian diluluskan di peringkat dasar pada 13 November lalu.

Info

Bajet 2018

* memperuntukkan RM280.25 bilion

* RM234.25 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus

* RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan

* RM79.15 bilion untuk emolumen

* RM33.62 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.