Amaran Angin Kencang Di Pantai Timur Semenanjung, Sarawak

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua untuk aktiviti perkapalan.

Keadaan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-layang.

Perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Labuan dan Palawan juga dijangka mengalami angin kencang Timut Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri. Ia juga berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” menurut kenyataan MetMalaysia.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora, kategori pertama kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Labuan.

“Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

“Angin kencang Barat Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sehingga Sabtu.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan portal e-Banjir, paras sungai di Kelantan menunjukkan trend penurunan dengan Sungai Golok di Jenob dan Rantau Panjang masih berada di paras bahaya, manakala bacaan di Kusial, Tanah Merah dan Tangga Krai, Kuala Krai mencatatkan bacaan amaran. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.