Hulu Terengganu Pulih Dari Banjir

KUALA TERENGGANU: Daerah Hulu Terengganu pulih daripada banjir apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak dua hari lalu, ditutup petang ini.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada jam 5 petang ini, lima daerah iaitu Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Setiu yang terjejas akibat bencana banjir semakin pulih, berikutan keadaan cuaca yang dilaporkan baik hari ini, manakala Hulu Terengganu pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, keadaan di Besut masih membimbangkan berikutan seramai 1,385 orang dipindahkan ke 33 PPS membabitkan 398 keluarga, namun jumlah itu menurun sedikit berbanding pagi tadi yang mencatatkan 1,444 orang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam Abd Rahman, berkata Pengerusi Bencana Daerah Hulu Terengganu bersetuju untuk menutup bilik gerakan bencana daerah pada jam 4.45 petang, berikutan keadaan banjir pulih.

“Bagaimanapun, bilik gerakan daerah ini akan diaktifkan serta merta sekiranya bencana kembali berulang manakala pegawai dan anggota APM di daerah ini masih lagi bersiapsiaga.

“Semua keanggotaan APM di seluruh negeri juga masih lagi diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga berikutan amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk hari ini dan esok di pantai Timur,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mengikut laporan, PPS yang masih aktif ialah di Dungun (2), Setiu (3), Marang (5), Kuala Nerus (2) dan Kuala Terengganu (1) membabitkan 239 mangsa. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.