Letusan Gunung Agung: Kedutaan Pantau Keselamatan Rakyat Malaysia

JAKARTA – Lebih 40,000 penduduk di kawasan sekitar gunung berapi Gunung Agung di Pulau Bali dipindahkan setakat ini berikutan aktiviti letusan gunung itu sejak 21 Nov lepas dilaporkan semakin serius.

Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), orang ramai atau pelancong tidak dibenarkan berada atau melakukan aktiviti di kawasan Zon Perkiraan Bahaya yang kini ditetapkan di kawasan lingkungan 8 hingga 10km dari kawah puncak Gunung Agung.

Menurut laporan media dalam talian, kawasan sekitar gunung itu menempatkan lebih 70,000 penduduk, dan setakat ini lebih 40,000 penduduk telah dipindahkan melibatkan 22 perkampungan.

Sementara itu agensi berita Antara pula melaporkan Presiden Indonesia Joko Widodo mengarahkan semua penduduk berdekatan gunung itu di Kabupaten Karangasem, Bali dipindahkan segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Bagi mereka di radius delapan sampai 10 kilometer betul-betul mengungsi (berpindah) demi keselamatan. Saya minta jangan sampai ada korban karena terkena letusan,” kata Jokowi.

Sementara itu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi kenyataan meminta rakyat Malaysia di Bali sentiasa berkomunikasi dengan keluarga atau rakan terdekat bagi memberikan jaminan mengenai status dan keselamatan mereka.

“Untuk mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia juga boleh menghubungi kedutaan Besar Malaysia di Jakarta (di talian +62215224947/+6281380813036) (24jam) dan Konsul Kehormat Malaysia di Bali (+62361973182/+6281237154050)

“Rakyat Malaysia di Bali juga boleh menghubungi terus pegawai Bali Tourism Board di talian +6281999325080 atau +6281338999911 bagi mendapatkan perkhidmatan bas untuk ke bandar lain bagi mendapatkan penerbangan pulang ke Malaysia berikutan penutupan Lapangan Terbang Antarbangsa 1 Gusti Ngurah Rai, Bali.

“Selain itu, rakyat Malaysia yang berada di Bali dan terjejas penerbangan mereka diminta untuk bertenang dan sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia masih mengumpul maklumat berkenaan rakyat Malaysia yang berada di Bali atas urusan peribadi atau melancong.

Setakat ini seramai 155 pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian perubatan di Universitas Udayana, Bali dilaporkan selamat. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.