Nabila Razali ‘Tipu’ Kisah Cinta Dengan Aedy Ashraf

KUALA LUMPUR: Gimik percintaan antara Nabila Razali dan Aedy Ashraf berakhir dengan perpisahan seperti yang tersebar luas baru-baru ini, nampaknya menjadi.

Disangka kisah benar, drama ‘dipentaskan’ itu rupa-rupanya sebahagian daripada rangka promosi single dan video muzik terbaru Nabila berjudul Pematah Hati ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

“Taktik itu nampaknya berkesan kerana ramai peminat percaya. Saya lihat perancangan syarikat pengurusan dan pengarah video muzik, Storytellrs mempromosikan Pematah Hati berjaya.

“Sebenarnya, saya dan Aedy hanya bekerjasama menjayakan klip video lagu berkenaan dan bersifat profesional.

“Apa yang dilakukan hanyalah atas urusan kerja. Aedy sangat komited dalam merealisasikan watak sebagai si pematah hati,” katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, netizen heboh dengan ‘kisah cinta’ tidak kesampaian Nabila apabila dia berkongsi luahan hati pada laman Instagram. Dalam tempoh 24 jam, status itu dipadamkan penyanyi dan pelakon itu.

Nabila yang pernah mencipta nama bersama Alif Satar menerusi drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati, bagaimanapun tidak menganggap gimik itu sebagai murahan.

“Masing masing ada cara dan gimik tersendiri dalam mempromosikan sesuatu. Tak sangka ‘drama’ saya dan Aedy menjadi.

“Pada mulanya, saya tak merancang memuat naik gambar kami berdua. Tapi disebabkan foto itu cantik, saya buat keputusan untuk berkongsinya.

“Apabila hype itu menjadi, saya dan Aedy mengikut rentak. Saya tak anggap ia gimik murahan sebaliknya membuka banyak peluang lain termasuk dalam dunia lakonan,” katanya.

Peminat boleh menonton aksi Nabila dalam video muzik Pematah Hati melalui saluran Youtube rasmi Seventeen Eleven Music mulai hari ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.