‘Noda Fikiran Lebih Teruk Kesannya’

SHAH ALAM – Masyarakat sering disajikan dengan kes-kes rogol kanak-kanak, malah ada juga kes yang menjangkaui kotak fikiran.

Pada masa sama, orang ramai tanpa segan silu berkongsi perkara tersebut di media sosial tanpa memikirkan kesan pada ahli keluarga mangsa dan ‘bakal’ mangsa-mangsa lain.

Pakar motivasi, Profesor Datuk Dr Muhaya Mohamad mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu ghairah berkongsi perkara negatif ini di media sosial, apatah lagi anak-anak kecil turut terdedah dengan perkara negatif tersebut.

“Setiap kanak-kanak dirogol, ada juga yang tidak dirogol tapi sayang sebab kita tidak memandang ‘anak-anak’ ini. Kita lebih fokus kepada mereka yang menjadi mangsa.

“Namun, dalam tidak sedar, anak-anak ini turut menjadi mangsa, bukan rogol fizikal tetapi rogol fikiran seperti pendedahan dan pemikiran negatif berkaitan dengan isu ini.

“Perkara-perkara ini secara tidak langsung memudaratkan anak-anak tersebut, Oleh sebab itu, kita yang dewasa kena berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sebagai ahli panel Wacana Siri ke 52: Perogol dalam Rumah di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Sementara itu, beliau juga menekankan pentingnya konsep ‘memaafkan’ sekiranya mangsa rogol ingin meneruskan kehidupan mereka.

“Apa yang jadi sudah terjadi, kita tidak boleh ubah masa lampau kita dan jalan yang ada hanya ke depan. Sebab itu, kita perlu memaafkan apa yang terjadi, ‘let it go’. Selagi kita tidak melepaskan,lagi susah kita nak ‘move on’.

“Namun ia tidak bermakna kita ‘merelakan’ apa yang terjadi, kita kena percaya pada ALLAH SWT, ‘believe in the system’. Perbaiki diri supaya jadi lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Muhaya berkata, beliau kasihan dengan orang yang menjadi perogol.

“Saya percaya orang yang melakukannya ada masa lampau yang sangat teruk jadi dari rasa marah, kita tukar emosi tersebut pada kasihan,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.