Penolong Jurutera Dipenjara 8 Tahun Sokong Daesh

KUALA LUMPUR: Seorang penolong jurutera dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan menggunakan aplikasi media sosial, Google+, tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman terhadap Irma Julyanti Buang, 32, ibu beranak satu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah dan memerintahkannya dipenjara bermula dari tarikh ditangkap, pada 20 April lalu.

Mohd Sofian dalam penghakimannya, berkata kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan boleh mengancam ketenteraman serta keselamatan negara.

“Sebagai seorang yang terpelajar, kamu tidak seharusnya terpengaruh dengan kegiatan pengganas, namun nasi sudah menjadi bubur, akibat perbuatan ini dan kamu terpaksa menerima hukuman.

“Kamu seharusnya memikirkan pasal keluarga, ibu bapa dan nenek di kampung sebelum terbabit dengan kegiatan pengganas ini,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Irma Julyanti memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara menggunakan aplikasi media sosial, Google+ atas nama Calestica-Irma Julyanti Buang di bilik kejuruteraan, Lot 205, Kilang Celestica (AMS), Jalan Seelong, Johor Bahru antara Januari 2016 dan 20 April 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, hukuman mengikut Subseksyen 130J(1) kanun sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau denda dan boleh dirampas harta digunakan atau diniatkan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung keluarga, menyambung belajar dan ada anak berusia tiga tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfaida Mohd Rashidee, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat berikutan kes itu semakin berleluasa di Asia Barat. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.