JKM Bekal Makanan Segar Untuk Mangsa Banjir

PASIR MAS: Seramai 59 pembekal di dalam kalangan penduduk tempatan di negeri ini dilantik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghantar sumber makanan segar ke pusat pemindahan sementara (PSS).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata lantikan itu bagi memastikan kesemua mangsa di PPS menerima sumber makanan yang berkhasiat.

Katanya, keadaan itu sekali gus mengubah stigma masyarakat yang mendakwa sardin dan telur saja sebagai menu utama mangsa banjir.

“Kini kita bukan saja menyediakan lauk pauk segar seperti ayam, daging dan ikan malahan sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Kita melantik pembekal daripada penduduk tempatan bagi memudahkan penghantaran bekalan sampai ke PPS. Mereka ini lebih arif dengan jalan yang boleh dilalui ketika banjir sekali gus menghalang masalah bekalan tidak mencukupi atau tidak sampai ke lokasi.

“JKM sendiri mula belajar daripada pengalaman ketika menguruskan mangsa banjir sebelum ini. Hasilnya dari semasa ke semasa kita dapat menyediakan sesuatu yang lebih baik kepada masyarakat terutama ketika bencana sebegini.

“Kita akan berusaha menjaga kebajikan serta menyediakan makanan terbaik buat mangsa banjir di PPS terutama kepada golongan emas dan kanak-kanak,” katanya selepas membuat lawatan di PPK Sekolah Menegah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini.

Rohani, berkata beliau berpuas hati apabila dapat turun padang melawat mangsa di situ setelah melihat segala keperluan disediakan selain kerjasama baik diberikan pihak JKM sendiri.

“Saya sendiri mengambil peluang bertemu mata dengan mangsa termasuk yang tengah berpantang selepas bersalin dan ada juga yang membawa anak kurang upaya ke sini selepas dinasihati berpindah kerana rumah sudah dinaiki air.

“Nasihat dan kata semangat diberikan kepada semua mangsa agar mereka tabah dan kuat menghadapi ujian ini selain memberi jaminan untuk memberi khidmat serta bantuan sebaiknya kepada mereka,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.