PEKA Tanamkan Sifat Sayangi Alam Sekitar Di SK FELDA Lurah Bilut

BENTONG – Keindahan panorama alam sekitar yang dinikmati di muka bumi ini akan pudar sekiranya manusia tidak menjaga dan memuliharanya sebaik mungkin.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata  manusia dan alam sekitar memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kerana ia saling berkaitan di antara satu sama lain.

“Program Ceramah Alam Sekitar yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lurah Bilut itu juga dapat membantu dalam membanteras kegiatan yang merosakkan dan mencemarkan alam sekitar.

“Pencemaran dan pemanasan global adalah antara yang memberi kesan buruk pada alam sekitar. Sehubungan itu, alam sekitar perlulah dijaga dan dipelihara demi kesejahteraan sejagat, dan atas dasar itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini

Shariffa Sabrina berkata program tersebut sebagai salah satu cara menyemai dan memupuk semangat kecintaan pada alam sekitar dalam kalangan generasi muda agar menghargai, menghormati dan memelihara ekosistem yang semakin terjejas dan tercemar.

Menurutnya, pihaknya juga berharap program sebegini dapat dijadikan sebagai program tahunan pada masa akan datang dengan penyertaan daripada pelbagai pihak.

“Kami juga merancang mengadakan program alam sekitar yang mampu beri impak kepada masyarakat sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab semua pihak dan sikap ini perlu ditanam dalam diri masing-masing,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.