Saya Bukan Artis Plastik – Raline Shah

KUALA LUMPUR: Aktres Indonesia, Raline Shah, 32, berterus-terang dia lebih suka menjadi diri sendiri daripada bermuka-muka hingga dilabel ‘artis plastik’.

Raline yang sedang menyelesaikan penggambaran filem sekuel aksi kepolisan di Malaysia, menolak istilah ‘jaim’ atau singkatan kepada ‘jaga imej’ yang popular di Indonesia dalam merujuk artis yang menyembunyikan sikap sebenar.

“Lihat saya dalam dunia glamor dan kehidupan biasa, Raline Shah masih orang yang sama dan tiada bezanya. Tiada apa yang cuba disembunyikan. Saya tak perlu ‘jaim’. Kecuali diri kamu berbeza di hadapan khalayak dan dunia seni.

“Namun, andai suatu hari nanti saya terpalit dengan kontroversi, terpulanglah kepada masyarakat menilainya.

“Saya hidup bukan dalam kepura-puraan atau ‘plastik’ dengan jadi berbeza di hadapan kamera dan kehidupan sendiri. Kalau menjadi ‘jaim’ dibayar seperti pelakon, boleh juga saya pertimbangkan,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi pengalaman di lokasi penggambaran filem sulungnya di Malaysia, Raline yang sudah enam tahun aktif di pentas seni mengaku watak yang diberi sudah lama ditunggu.

“Selepas sekian lama diberi peranan yang banyak bermain emosi, saya menunggu filem yang mengangkat sisi berani wanita. Saya mahukan filem yang nampak wanita kuat, bukan yang ditinggalkan dan merana. Saya mahu yang kuat dan boleh pukul orang,” katanya.

Raline berkata, tawaran diberi produksi filem terbabit cukup mengujakan hingga dia tidak berfikir dua kali menerimanya.

“Produksi memberitahu watak itu ditawarkan untuk saya saja. Mereka benar-benar mahu saya berlakon dalam filem ini. Kepercayaan produksi terus membakar semangat saya, apatah lagi gandingan pelakon hebat-hebat belaka,” katanya.

Bercerita lanjut, Raline berkata, dia memegang watak pegawai polis dari Indonesia dalam filem berkenaan dan menjalani latihan intensif bagi menghidupkan karakter. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.