KESEDARAN CUKAI TERAS UTAMA LHDNM

Menjadi tanggungjawab Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) selaku agensi yang mentadbir cukai langsung negara, aktiviti pematuhan yang dilaksanakan merupakan aktiviti rutin LHDNM sepanjang tahun.

Ramai beranggapan operasi dan perlaksanaan pematuhan cukai yang dilakukan LHDNM menekan rakyat. Sebaliknya, perlaksanaan ini adalah bagi menjaga kepentingan hasil negara daripada ketirisan dan memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang patuh.

Setiap operasi pematuhan yang dilaksanakan juga bukan untuk menguatkuasakan undang-undang percukaian negara ini semata-mata, malah LHDNM turut melengkapkannya dengan program kesedaran cukai dalam kalangan rakyat.

LHDNM juga secara berterusan menganjurkan aktiviti kesedaran cukai yang lain seperti sesi taklimat kepada para majikan di agensi kerajaan dan swasta, kerjasama strategik dengan badan-badan profesional dan Institut Pendidikan Tinggi, perkhidmatan kaunter luar pejabat di lokasi terpilih, pengedaran risalah-risalah percukaian kepada orang awam, publisiti, wawancara dan penerbitan cukai.

Sehingga November tahun ini, LHDNM telah berjaya menganjurkan 2,377 sesi Taklimat Percukaian, 33 program kolaborasi bersamasama agensi kerajaan dan swasta, 39 Seminar Percukaian, hampir 700 Program Latihan Khidmat Sokongan Peniaga, 64 wawancara media, 14 penerbitan artikel dan hampir 11,000 publisiti melalui media elektronik, cetak dan dalam talian.

Selain itu, melalui Operasi Mega 2017 selama dua minggu yang dilancarkan pada 27 November 2017 yang lalu juga turut meletakkan kesedaran cukai sebagai teras utama aktivitinya apabila sebanyak 104 program kesedaran meliputi sesi taklimat percukaian, kaunter perkhidmatan bersemuka, khidmat bantuan perniagaan dan pengedaran risalah telah dilaksanakan.

Di samping itu, pada tahun ini LHDNM juga telah mengambil inisiatif memberikan peringatan awal kepada 59,920 pembayar cukai baharu melalui emel secara berkelompok (email blast) mengenai tanggungjawab mereka untuk melaporkan pendapatan tahun 2017.

LHDNM ingin orang ramai menyedari bahawa semua aktiviti kesedaran yang dilaksanakan ini merupakan remedi jangka panjang yang akan menghasilkan perubahan sikap yang positif terhadap percukaian. Perubahan ini seterusnya akan turut membantu meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan pembayar cukai di samping mengelakkan sebaran risiko kepada pembayar cukai seperti sekatan perjalanan, kenaan penalti dan tindakan undang-undang.

Pematuhan cukai secara sukarela juga akan menjamin hasil negara terus mapan di mana ia akan dinikmati semula oleh rakyat dalam pelbagai bentuk pakej bantuan dan pembangunan demi kesejahteraan negara.

Leave a Reply