BAYAR CUKAI 7 HARI SEBELUM PERJALANAN

Seramai 107,884 rakyat negara Malaysia dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen atas kegagalan membayar cukai pendapatan seperti yang termaktub di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, jumlah tersebut merupakan 14% dari jumlah keseluruhan seramai 790,186 rakyat negara ini yang dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara atas pelbagai kesalahan termasuk dengan agensi lain yang berkaitan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN), Jabatan Insolvensi dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

Oleh itu bagi mengelak masalah senarai hitam ini memberi kesan kepada kelancaran perjalanan penumpang ke luar negara Kiosk Pra Semakan Senarai Hitam bagi membolehkan penumpang membuat semakan sebelum berlepas telah disediakan.

Sebanyak tiga kiosk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk rakyat Malaysia menyemak status mereka sebelum ke luar negara telah disediakan oleh Jabatan Imigresen.

Selain itu, sistem semakan secara dalam talian juga boleh dilakukan dengan menyemak di laman sesawang Jabatan Imigresen Malaysia dengan rujukan seperti ini http://sspi.imi.gov.my/sspi/.

Senarai Status Perjalanan Imigresen dengan memasukkan Nombor Kad Pengenalan dan menekan butang SEMAK. Jika anda tidak dihalang daripada meninggalkan negara ini, status semakan akan terpapar sebagai “Tiada Halangan” (Tiada sekatan).

Jika anda ragu-ragu tentang apa juga masalah, lakukan semakan ini tujuh hari sebelum perjalanan. Ini kerana, jika terdapat sekatan berkaitan dengan permasalahan cukai, pembayar cukai atau wakil perlu hadir ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail pembayar cukai sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perjalanan bagi memohon pelepasan sementara sekatan perjalanan.

Ini termasuklah mengemukakan surat permohonan yang mengandungi maklumat destinasi, tujuan dan tempoh di luar negara serta membuat bayaran 50% daripada jumlah cukai tertunggak.

Sekiranya pembayar cukai dihalang keluar negara di lapangan terbang atau di mana-mana pintu keluar imigresen, pembayar cukai boleh menghubungi nombor telefon berikut untuk bantuan di talian HASil Care Line : 1-800-88-5436 (Isnin – Jumaat : 9.00 pagi – 5.00 petang) atau HASiL Recovery Call Centre: 1-800-88-4726 (Isnin – Jumaat : 8.30 pagi – 5.00 petang).

Leave a Reply